Kontrak adalah perjanjian yang diikat antara dua pihak untuk melaksanakan tanggungjawab setiap dari mereka mengikut syarat kontrak yang ditetapkan oleh keduanya. Kontrak hanya saha apabila ditandatangani oleh kedua pihak sebagai tanda bersetuju dengan isi kontrak tersebut.
Apabila hendak membina rumah, pastikan ada kontrak antara pemilik rumah dan kontraktor. Ia boleh menjadi rujukan apabila ada pertikaian. Ia juga boleh mengurangkan risiko kerugian apabila satu pihak terpaksa menanggung beban yang tidak adil apabila satu pihak tidak melaksanakan tanggungjawabnya.
Kontrak boleh disediakan oleh mana-mana pihak, tetapi adalah sangat disarankan agar pihak yang satu lagi sentiasa meminta nasihat pengamal undang-undang bagi memastikan kepentingannya juga terjaga.
Antara syarat yang perlu ada dalam setiap kontrak adalah:
1. Pihak yang terlibat dalam kontrak, termasuk pemilik hartanah yang akan dirujuk sebagai “Pemilik” dan pembina atau kontraktor yang dirujuk sebagai “kontraktor”.
2. Jenis Kerja yang akan dilakukan, termasuk lokasi tapak kerja, yang akan dirujuk sebagai “Kerja Binaan.”
3. Tempoh Kerja yang dipersetujui bermula dengan tarikh mula projek, serta tarikh siap.
4. Terma pembayaran yang dipersetujui mengikut jadual, termasuk bayaran pendahuluan, bayaran berkala/progres/interim dan bayaran akhir.
5. Lantikan pengurus projek – sekirannya ada, oleh pemilik bagi memantau kerja di tapak bagi pihaknya dan skop tugasannya.
6. Insuran Kerja
7. Jaminan Perlaksanaan
8. Jenis perubahan kerja termasuk pertambahan, pengurangan atau penggantian kerja yang boleh atau tidak boleh dilaksanakan.
9. Kelewatan dan Lanjutan Masa sekiranya diperlukan oleh kontraktor mengikut justifikasi kelewatan.
10. Penamatan Kontrak dengan notis penamatan dan arahan meninggalkan tapak.
11. Kaedah penilaian kerja yang akan dilaksanakan bagi memperakui kerja kontraktor
12. Kemungkaran dan balasannya apabila tidak menunaikan tanggungjawab seperti yang dipersetujui.
13. Perakuan Kerja Siap bagi memperakui kontraktor telah menyiapkan kerja seperti dalam kontrak.
14. Jaminan Kerja seperti bon, waranti, tanggungan tempoh kecacatan untuk menjamin kerja yang dilaksanakan dalam tempoh tertentu.
15. Menunaikan tanggungjawab kontraktor seperti berdaftar dengan CIDB, mengisytiharkan projek di bawah sistem CIMS, mematuhi peraturan binaan, dll
16. Penyelesaian Pertikaian yang mungkin timbul semasa proses pembinaan. Pertimbangkan untuk memasukkan klausa yang memerlukan pengantaraan atau timbang tara sebelum meneruskan tindakan undang-undang.
17. Penamatan kontrak dan akibat penamatan, termasuk sebarang penalti atau bayaran yang dikenakan atau apabila satu pihak boleh mengancam kepentingan satu pihak yang lahir contohnya bankrupsi, dihukum penjara kerana jenayah dsbnya .
18. Nyatakan undang-undang dan bidang kuasa yang mentadbir yang akan digunakan untuk kontrak.
Ingat, adalah penting untuk berunding dengan peguam atau profesional undang-undang untuk menyemak dan menyesuaikan kontrak bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan khusus anda dan undang-undang tempatan.