Mengubah Naratif Minda: Fokus Kepada Penyelesaian Bagi Membantu Kontraktor Terus Berkembang Walaupun Hadapi Pelbagai Cabaran
Setiap projek ada cabarannya tersendiri.
Antara cabaran yang dihadapi kontraktor semasa menguruskan projek adalah mendapatkan pekerja mahir, bekalan bahan binaan, kelewatan progres yang tidak dapat dielakkan, kekangan kewangan, serta perubahan skop projek.
Bagi setiap cabaran, kontraktor perlu melalui proses penyelesaian.
Dalam proses ini, adalah amat penting untuk kontraktor menggelak diri dari terperangkap dengan pemikiran negatif.
Minda negatif tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan mengundang lebih banyak masalah lagi.
Apa yang kontraktor perlu lakukan adalah mengubah naratif pendekatan dengan mengamalkan pemikiran berfokuskan penyelesaian.
Apakah Minda Berfokuskan Penyelesaian?
Ia adalah cara mengalihkan fokus daripada melihat masalah dalam cabaran tersebut kepada mencari penyelesaian bagi menguruskan cabaran yang sama. Daripada memikirkan perkara yang tidak boleh dilakukan, minda berfokuskan penyelesaian membantu untuk kekal fokus pada perkara yang boleh dilakukan untuk mencapai hasil yang lebih positif.
Pendekatan ini boleh membantu kontraktor untuk kekal bermotivasi dan bertenaga, walaupun fikiran berserabut dan jiwa tidak tentu hala berhadapan dengan halangan dan cabaran yang boleh memecahkan kepada.
Pernah terjadi, dalam menguruskan satu projek pembinaan surau di sebuah kem, beberapa peralatan kerja telah hilang sedangkan kerja perlu disiapkan pada minggu itu juga. Hampir saja kami putus asa kerana menghadapi kekangan tunai untuk membeli peralatan baru. Perunding mengancam untuk mengenakan LAD sekiranya kami tidak dapat menyiapkan kerja mengikut tempoh kontrak. Daripada mengeluh dan menunding jari, kami segera mengenal pasti jalan penyelesaian iaitu menyewa dahulu peralatan bagi memastikan projek dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan. Ini menarik perunding, sekaligus membina reputasi dan kepercayaan dalam menguruskan projek seterusnya.
Faedah Minda Berfokuskan Penyelesaian untuk Kontraktor
Dengan pemikiran berfokuskan penyelesaian, kontraktor dapat mencapai tiga perkembangan yang lebih positifi seperti berikut:
1. Peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam progres projek
Dengan hanya memberikan fokus pada penyelesaian dan tidak membuang masa mempertikaikan masalah, kontraktor boleh bekerja dengan lebih pantas dan berkesan untuk memberi tumpuan untuk melaksanakan penyelesaian.
2. Berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan yang sentiasa berubah-ubah
Dalam industri pembinaan, perkara tidak selalu berjalan mengikut rancangan. Dengan kekal fokus pada penyelesaian, kontraktor boleh menyesuaikan diri dengan cepat kepada keadaan yang berubah-ubah dan sentiasa mencari cara baharu untuk pastikan matlamat projek tetap tercapai.
3. Pemikiran yang lebih positif dan peningkatan motivasi
Apabila kontraktor memberi tumpuan pada penyelesaian, secara semula jadi mereka akan lebih positif dan bermotivasi. Ini membantu untuk mereka kekal bertenaga walaupun keadaan menjadi sukar.
3 Tips Membangunkan Minda Berfokuskan Penyelesaian
1. Kenal pasti dan cabar corak pemikiran negatif
Apabila kita mendapati diri sedang memikirkan masalah, cabar fikiran itu dengan bertanya kepada diri sendiri apakah penyelesaian positif yang boleh kita fokuskan.
2. Amalkan kesedaran diri dan ‘self talk’ yang positif
Kekal hadir dan fokus pada hasil positif dengan mengamalkan kesedaran dan bercakap pada diri sendiri dalam keadaan yang positif. Ini boleh membantu untuk kekal bertenaga dan bermotivasi, walaupun semasa menghadapi halangan.
3. Dapatkan sokongan daripada mentor dan rakan pasukan
Bina rangkaian sokongan mentor dan rakan pasukan yang boleh membantu untuk kekal positif dan fokus pada penyelesaian. Mereka mungkin mempunyai pandangan dan perspektif berharga yang boleh membantu kita mengatasi cabaran dan terus berkembang maju dalam kerja.
Kesimpulan
Sebagai kontraktor, halangan dalam menguruskan projek adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi. Dengan mengamalkan pemikiran berfokuskan penyelesaian, kita mampu mengubah naratif halangan dan terus berkembang maju walaupun semasa menghadapi halangan ini. Dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian dan bukannya masalah, produktiviti boleh dipertingkatkan, perubahan mendadak semasa mengurus projek boleh disesuaikan dan yang paling penting kita kekal bermotivasi dan bertenaga dalam kerja. Mulakan ubah naratif hari ini dan lihat sendiri hasil positifnya.
Mahanom Mohammad