Peluang Kontraktor Generasi Baharu Pelapis Industri

Apakah nasib kontraktor generasi baharu atau pelapis industri yang terdiri dari anak muda dalam industri binaan? anak muda dalam industri binaan? Adakah mereka berpeluang untuk pergi lebih jauh dalam industri? Adakah mereka akan membebankan kerajaan seterusnya menjadi liabiliti dalam negeri sendiri?

Penglibatan anak muda dalam industri binaan telah bermula sejak lama dahulu. Sejak mereka menamatkan pembelajaran dari IPTA dan TVET. Mereka memulakan karier sebagai pekerja dalam syarikat kontraktor, firma perunding, syarikat logam, dan agensi-agensi kerajaan.

Ada di antara mereka yang memulakan perniagaan kontraktor sendiri setelah menimba pengalaman semasa bekerja. Ada antara mereka telah menunjukkan kejayaan cemerlang dalam industri. Bukan sahaja dari segi prestasi sendiri, tetapi juga telah berjaya mengembangkan peluang anak muda lain dalam syarikat mereka.

Semenjak ekonomi menjadi perlahan, peluang anak muda untuk bekerja menjadi semakin kecil. Lalu setelah menamatkan pendidikan dalam bidang teknikal dan bangunan, mereka tiada pilihan lain selain menjadi kontraktor untuk mengembangkan apa yang telah mereka pelajari semasa di universiti dan kolej.

Mereka semakin lari jauh apabila kerajaan membuka semula pendaftaran G1 pada tahun 2018.

Soalannya, adakah mereka masih mempunyai peluang untuk berkembang dalam industri? Apakah risiko yang bakal mereka hadapi apabila menjadi kontraktor tanpa pengalaman bekerja?

✅1. Peluang adalah bergantung kepada permintaan dalam pasaran.

Bergantung kepada jenis pasaran yang mereka ingin tawarkan kemahiran. Peluang juga bergantung kepada permintaan yang sedia wujud atau boleh diwujudkan untuk kemahiran yang mereka miliki.

Untuk pasaran perumahan contohnya, tinggi tidak tinggi permintaan, lihatlah betapa ramai warga asing yang bermain dalam pasaran ini. Berapa banyak rumah yang diubahsuai dalam setiap taman perumahan?

Pasaran kerajaan pula, selalu lihat belanjawan negara. Tahun ini hampir 95billion bajet disediakan untuk infrastruktur.

Baru-baru ini sahaja, Menteri Ekonomi isytiharkan tentang projek Inisiatif Kemudahan Rakyat, tinggal rajin atau tidak sahaja menggunakan peluang ini.

Mengikut pengalaman saya, peluang juga boleh bergantung kepada apa yang kita boleh tawarkan. Manusia membeli bila mereka rasa kita dapat beri apa yang mereka mahu, BUKAN apa yang kita tahu.

✅2. Sejauh mana peluang anak muda dalam industri?

Peluangnya sangat besar.

Malaysia ada banyak bangunan kediaman, komersil, industri, kemudahan awam yang perlukan kerja pembaikan dan penyelengaraan.

Sektor hartanah sendiri berpotensi tinggi. Yang hendak beli tanah, mereka pasti akan bangunkan rumah, kilang, bangunan tinggi dan banyak lagi.

Ini belum lagi jika bangunan ini perlukan penambahan ruang. Maka terbitlah kerja ubahsuai.

Belum lagi bangunan ini perlu kerja naik taraf.

Baru cerita bangunan, belum cerita infra.

Anak muda yang baharu bermula, boleh lakukan dahulu kerja-kerja kecil di bawah RM200 untuk sehari. Kemudian boleh jadi kontraktor utama untuk projek bawah RM5juta dan boleh jadi sub kontraktor untuk projek-projek besar.

✅3. Tapi ingat, Allah tidak beri semua itu depan mata. Kena ada usaha.

Usaha marketing, networking, ambil apa sahaja peluang sertai tawaran sebutharga dan tender.

Hendak marketing, belajar cara marketing. Tetapkan keupayaan untuk laksanakan projek. Pastikan projek yang kita dapat berjuta-juta hasil marketing, boleh dilaksanakan dengan baik.

Belajar ilmu uruskan tukang, belajar ilmu kawalan kos, belajar ilmu statement, QPC, dan banyak lagi.

Hendak bernetworking, belajar seni bernetworking.

Hendak masuk tender, belajar strategi penyediaan tender.

Sekiranya kita hanya tunggu projek disuakan depan mata, memang tenggelamlah masa depan kau dik.

Sekiranya kita hanya berharap kerja disediakan di depan mata, tanpa perlu marketing dan masuk sebutharga, pasti akan gulung tikar.

✅4. Cerita pasal risiko, setiap perniagaan ada risikonya. Termasuk perniagaan kontraktor.

Risiko rugi sudah pasti terutama bila tidak mahir dalam rencah dan silat terajang dalam industri ini.

Risiko lain termasuklah:

Risiko harga barang naik.
Risiko kerja nak ubah last minit.
Risiko pekerja tak datang sebab kena tahan polis.
Risiko sub ambil deposit lepas itu hilangkan diri.
Risiko barang dan peralatan kena curi di tapak.
Risiko owner sailang kerja.
Risiko kawan dan sedara mara owner lebih sudu dari kuah.
Risiko gangster datang paksa bayar wang perlindungan.
Risiko dapat kerja cabut undi di kampung, tiang belum pacak, ketua kampung dah kasi salam.

The list never end.

Yang boleh dilakukan adalah merancang bagaimana risiko risiko ini dapat diatasi atau dihapuskan.

Risiko terbesar adalah buat kerja tidak dibayar. Antara faktor tidak dibayar kerana kualiti kerja yang diberi tidak menepati apa yang pelanggan mahu, dan kontrak tidak kukuh dalam melaksanakan kereja. Ada juga kes tidak dibayar kerana pelanggan rasa tertipu. Dalam banyak kes ia berlaku apabila kontraktor tidak mahir dalam skil komunikasi hingga ujud salah faham.

✅5. Realiti sebenar jadi kontraktor?

Mana mana bisnes pun, cepat berjaya, cepat juga jatuhnya. Nafsu menguasai diri bila bayaran segedebuk diterima. Mulalah keluar Audi walau sebenarnya tidak mampu lagi.

Realiti sebenar, kerja kontraktor kena berjemur di bawah matahari, kena berhenti bila hujan turun dan kena marah bila kerja tak ikut spec.

Tambah pakej kena maki bila lambat bayar pekerja, dan kena langsi bila lambat bayar pembekal. Mental kena kuat.

Realiti sebenar, jadi kontraktor badan berdebu, kotor, kerja bahaya dan susah. Ini maksud sebenar 3D, dirty, dangerous and difficult. Kalau takde insuran, memang mati sia sia.

✅6. Realiti sebenar, jadi kontraktor memang tiada masa hendak duduk goyang kaki.

Inikan pula nak bercinta.

Lori konkrit janji datang pukul 10pagi, tapi hanya sampai pukul 2petang.

Semua kerja tertangguh.

Bila cinta hati tak dapat perhatian, memang serabut hidup kau macam tiada masa depan.

Realiti sebenar, bukan bisnes kontraktor saja begitu.

Semua bisnes pun sama.

Jika ada yang datang kata boleh buat sales juta juta dalam dua tiga bulan, suruh dia tunjuk akaun statement, berapa pula kos juta juta yang perlu dikeluarkan.

✅7. Realiti sebenar, boleh ke bisnes kontraktor ni kaya.

Jawapannya ya, Insyaallah. Bila Allah dah tetapkan di dunia ini kita boleh jadi jutawan, maka kun fayakun, kita akan jadi jutawan.

Ada usaha dan ada jalan.

Sama ada jutawan itu satu rahmat atau istidraj, itu cerita lain pula.

Ada kontraktor yang jadi kaya hasil rezeki yang berkat. Hasil kekayaan disalurkan kepada ibadah seperti mendirikan masjid, membantu fakir dan orang susah.

Ada juga kontraktor yang jadi kaya hasil rasuah dan mencuri kerja. Makin dilakukan, makin banyak projek dia dapat. Maka dia rasa Allah terima pekerjaannya tanpa sedari itulah istidraj yang Allah beri.

Panjang nak cerita realiti. Yang pasti bila nak jadi usahawan kontraktor, dapatkan ilmu keusahawanan kontraktor. Belajar dari ahlinya.

Cuma, bila mahu jadi kontraktor, jadilah juga aset yang berguna pada industri dan negara. Menjadi kontraktor yang dapat lonjakkan kecemerlangan dalam industri dan membawa nama baik negara ke persada.

Begitulah.

🪄
Mahanom Mohammad

(Visited 109 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *