Bukan Mudah Jadi Usahawan Kontraktor

Industri binaan adalah industri keras.

Keras bukan sahaja kerana ada elemen besi, batu atau konkrit dalam setiap binaan projek.

Tetapi keras kerana urusan mendapatkan pelanggan, mendapatkan projek, menguruskan projek hingga siap, lengkap dengan Sijil Siap Kerja dan dapat tuntutan bayaran tanpa konsultan buat potongan – urusannya sangat keras.

Industri Binaan, tidak sesuai dengan orang yang cepat mengalah, cepat putus asa, cepat sentap, cepat emosi, cepat melarikan diri bila berhadapan dengan masalah.

Di tapak bina, kita akan diuji dengan durability, kekuatan, ketahanan, keselamatan, keupayaan komponen komponen binaan termasuk sistem sokongan, dalam projek yang kita uruskan.

Di pejabat pula, kita akan diuji dengan aduan pelanggan, pertanyaan, bebanan dan kadangkala kesangsian konsultan.Itu belum lagi bila cash flow meletup, kwsp datang melawat, socso meninjau, lhdn hantar surat, mahkamah jemput hadir bicara.

Kadang-kadang masa itulah bank hantar orang tarik kereta, landlord gertak nak seal ofis jika tunggakan 6 bulan masih tidak disettlekan. Air dan elektrik kena potong, hp kena bar. Dan pelbagai lagi.

Menguruskan perniagaan, bukan sekadar ada VMO cantik atas kertas, pelan dan startegi branding serta marketing yang ampuh dalam kepala.

BMC yang meleret panjang sampai kita sendiri sangsi sama ada boleh guna atau sekadar teori yang hanya nampak cantik di kelas.

Bukan sekadar buat Analisa SWOT dan PESTEL.

Apatah lagi bila buat VMO dan SWOT yang syok sendiri.

Tiada bukti ia mampu di validasi atau di praktikkan dalam dunia realiti.

Menguruskan perniagaan dalam Industri binaan, bukan sahaja keras.

Tapi dalam banyak situasi, ia bersifat kejam.

Panahan kejam ini, hanya real kontraktor sahaja tahu bagaimana ia boleh bawa kesan pada emosi, jiwa dan raga. Jangka pendek dan jangka panjang.

Setakat penat badan, bolehlah cari spa urut badan atau sapu saja minyak panas untuk hilangkan lenguh lenguh kaki dan tangan.

Tapi, penat otak, lain bai. Lain.

Bila sudah lama berada dalam industri yang keras ini, dan duduk berniaga dalam dunia kontraktor yang kejam juga, saya ada cara tersendiri dalam ‘memanusiakan’ komponen dan struktur binaan serta me’blend’nya dengan resepi tertentu dalam berkongsi ilmi bisnes kontraktor dengan pelapis industri yang rata-ratanya terdiri dari audien lelaki.

Untuk berada dalam industri ini, walaupun kita perempuan, kita kena bercakap dengan nada lelaki, emosi lelaki, bahasa lelaki – bukan untuk menarik mereka – tetapi untuk memudahkan mereka memahami apa yang kita cuba sampaikan.

Ada masa saya bawa gaya berbeza dalam membimbing usahawan lelaki dan wanita.

Dalam membimbing kontraktor wanita, saya akan lebih tegas dalam mengeluarkan potensi mereka.

Agar mereka tahu masa bila nak bersilat dan masa bila nak duduk diam-diam sahaja.

Begitulah dunia berniaga ini.

Nampak mudah bila lihat orang yang sudah berjaya.

Realitinya, proses nak berjaya itu, ada pelbagai pakej yang hadir hingga mampu mengeringkan kolam air mata akhirnya.

Maka, bila ada orang yang tak pernah jadi kontraktor, atau pernah jadi kontraktor separuh jalan dan ‘give up’ meneruskan perniagaan kontraktor mereka – datang dan bercerita seperti ‘mudahnya jadi usahawan kontraktor’.

Bila ada yang mengajar ambil lesen dan jadi kartel sahaja, atau dapat projek susah susah jangan pening kepala dan jual.

Atau mengajar dalam dunia ini, projek hanya wujud dalam pasaran kerajaan sahaja.

Apatah yang lebih sadis, diajarnya buat benda pelik pelik yang ternyata salah di bawah peraturan industri, akta berkanun dan etika kerja seorang kontraktor.

Dan lebih haru, bila terma seperti tred, interim, provisional, contractual, bon, wang kos prima, SO, AI dan terma terma biasa pun dia tidak tahu.

Larilah jauh-jauh.

Kerana orang itu belum benar benar faham sepak terajang dalam industri. Ia mungkin beri harapan dan formula palsu untuk berjaya. Atau beri racun hingga mematikan langkah kita untuk terus berintegriti dan melangkah meneruskan impian.

Keras dan kejam hanya boleh diatasi bila kita bersedia dengan ilmu dan skil yang betul, serta emosi dan jiwa yang sentiasa bersedia.

Malangnya tak semua pihak yang hendak membangunkan kontraktor nampak nilai nilai itu.

Dan terus leka menghanyutkan kontraktor kita hingga mundur ke belakang.

🖊

(Visited 140 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published.