Transformasi Kontraktor Kecil

Kontraktor dan Projek. Mereka umpama irama dan lagu.

Andai dipisah, lemah tiada berjiwa, dan hampa.

Dua hari lepas, seorang kontraktor kecil menghubungi saya. Meminta pendapat tentang masalah kontraktor kecil. Projek-projek kecil di jabatan dan agensi kerajaan yang portionnya semakin kecil untuk dikongsikan dengan bilangan kontraktor kecil yang kini semakin ramai.

Maka saya kongsikan di sini, cerita kami.

RMK11

Tempias kehampaan mendapatkan projek, terutama projek dari jabatan kerajaan, telah mula kami rasa semenjak tahun 2015. Semenjak GST diperkenalkan pada tahun 2014.

Ini kerana, setiap kali invois dikeluarkan, setiap kali itulah kami perlu mendahulukan wang sendiri untuk membayar GST yang dikenakan kepada pelanggan. Cash flow mula terasa sakit.

Akhir 2015 ditunggu penuh debaran untuk membaca mengenai Rancangan Malaysia Ke 11. Ingin sangat hendak tahu hala tuju kerajaan mencapai Wawasan 2020. Apabila RMK11 dikeluarkan pada tahun 2015. Sah! Ia berbeza dan tidak seperti RMK8 – RMK10.

RMK8 hingga RMK10 merangkumi tahun 2000 hingga 2015. Didalamnya terdapat rancangan pembangunan projek-projek baikpulih senggara bangunan dan infrastruktur yang dibina sepanjang RM6 dan RMK7. Sudah pastilah bangunan dan infrastruktur yang dibina ini perlukan penyenggaraan untuk memastikan binaan ini dapat terus berfungsi dengan baik.

Tahun-tahun tersebut, adalah tahun-tahun yang melakar banyak peluang projek untuk kontraktor kecil. Namun, ia tidak lagi seperti RMK11.

Apa cerita RMK11 waktu itu?

Ada 6 Teras. Ada 6 perkara utama yang akan digunakan untuk mengayuh Malaysia dalam 5 tahun sepanjang tahun 2016 hingga 2020.

Dan dalam 6 teras itu – tiada projek kecil.

Noktah.

Tiada lagi pembangunan projek kecil untuk kami. Tiada lagi habuan mewah hasil perniagaan untuk kita berkongsi.Yang ada hanya projek-projek mega seperti Klang Valley Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh ke Kajang, Laluan Sungai Buloh-Kajang-Putrajaya dan LRT3, Lembah Wawasan Malaysia (MVV) di Negeri Sembilan, dan beberapa projek mega lagi.

Spill Over

Pastinya projek-projek mega ini akan membawa limpahan atau spill over kepada projek-projek kecil. Ia berlaku semasa tahun 1991 hingga 2000. Berada dalam industri binaan ketika itu, saya menyaksikan sendiri bagaimana projek-projek mega seperti KLCC, KL Tower, Putrajaya, pelbagai lebuhraya MRR1, MRR2, PLUS, pelbagai pelabuhan, dan semua projek-projek yang terbesar, terpanjang, tertinggi, termahal dibina.

Bak kata, waktu itu KPI projek hanya ‘ter, ter, ter’ sahaja. Dan projek projek mega inilah yang membuka lebih banyak pembangunan disekitarnya hingga kawasan malap seperti Puchong, Sepang, Kg Subang lama, Kelang dibangunkan.

Mesti tiada yang menyangka Bandar Utama, Kota Damansara, dan sekitarnya dahulu adalah perkampungan orang asli sahaja. Itulah kesannya bila ada projek mega dibangunkan.

Maka, apakah langkah seterusnya, bila RMK11, tidak membawa banyak projek untuk kontraktor kecil? Lebih lagi penyenggaraan bangunan ditarik dari kontraktor kecil dan diberikan kepada kontraktor besar yang ada kod bidang Fasiliti Management?

Sementara mahu menunggu limpahan projek dari projek mega ini berlaku, apakah yang perlu dilakukan?

Hendak lemah longlai sentiasa?

Hendak duduk hampa menunggu?

Hendak melukut tepi jabatan dan agensi kerajaan minta simpati?

Hendak gulung tikar?

Tidak. Dalam 6 teras yang disebut itu masih ada lagi peluang untuk direbut. Ada lagi peluang rezeki. Ada lagi peluang untuk bertahan.

Limpahan ini selalu terjadi apabila projek-projek mega dibangunkan di kawasan-kawasan terpencil, yang belum diterokai, yang tiada bandar besar dan kemudahan fasiliti atau infrastruktur. Di kawasan ini jugalah nanti, akan ada pembangunan baru. Akan ada kawasan perumahan baru. Akan ada kawasan industri baru. Akan ada kawasan komersil baru. Akan ada hospital, kolej, masjid dan tempat riadah lain dibangunkan untuk memenuhi keperluan pembangunan baru dari spill over projek mega tersebut.

Transformasi Kontraktor Kecil

Kerana itu, ketika tahun 2016, kami putuskan untuk menjalani transformasi besar. Strategi baru dibangunkan yang sepadan dengan perubahan pemasaran ketka itu. Dari pasaran kerajaan, kami berpindah ke pasaran domestik. Persiapkan diri menunggu spill over itu terjadi. Apa yang kurang dan lemah, segera dikenalpasti dan mulalah era menuntut ilmu sini sana tidak berhenti. Melabur masa dan duit untuk ilmu bertaraf bintang. Mahu tahu, bagaimanakah mahu merebut peluang-peluang projek atau kerja yang ada di pasaran lain pula.

Waktu itu pemasaran digital mula diperkenalkan. Pemasaran Sosial Media baru lahir. Jadi bermulalah transformasi saya dalam dunia sosial media. Langkah awal adalah laburkan masa, tenaga dan wang ringgit belajar dari pakar mengenai sosial media dan pemasaran online.

Ternyata, ia bukan pelaburan sia-sia. Alhamdullilah, dengan teknik yang betul, jualan tidak pernah putus dengan hadirnya pelanggan yang mengenali kami melalui pemasaran sosial media.

Ekonomi Digital

Kini, pasca Covid-19 mula melahirkan kita dalam satu dunia baru.

Perkara yang pernah menjadi norma baru, kini menjadi satu rutin biasa.

Dunia baharu dalam ekonomi digital ini juga telah merubah cara pelanggan membuat keputusan.

Mereka membeli bukan sahaja kerana kualiti, harga dan jenama. Tetapi mereka lebih tertarik bila kita dapat tawarkan nilai baru yang lebih berinovasi, lebih bersifat manusia dan lebih pintar.

Maka, apakah yang perlu dilakukan apabila bahagian kek yang besar itu, makin lama makin kita rasa semakin kecil?

Buatlah satu transformasi.

Lihatlah dunia sekeliling yang mula berubah pesat semenjak 5 tahun lalu. Adakah kita masih mahu duduk di tahap lama, masih selesa, masih leka, masih lalai dengan cara berniaga dan bekerja cara lama? Sedangkan kita tahu, kita akan mendapat hasil yang sama, bila kita asyik berusaha cara yang sama.

Dunia Digital

Dunia baharu, ekonomi baharu.

Dunia digital, ekonomi digital.

Tanpa had masa, tanpa had sempadan, tanpa had bangsa, kita masih boleh terus menerobos pasaran apabila mula buka mata hati dan melihat peluang di sekeliling. Terutama peluang dalam dunia digital yang berada di hujung jari.

CIDB juga pesat melakukan transformasi dan telah melahirkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (2021-20250) bagi membantu industri pembinaan mendepani perubahan ini.

Maka teruskan mencari projek di dunia baharu ini.

Teruskan melakukan transformasi diri.

Langkah pertama, keluarlah dari zon selesa.

Mungkin kita perlu merangkak dan bertatih semula sebelum kaki kuat untuk berdiri.

Tekalkan Berdiri, Teruskan Mendaki.

Hingga sampai ke puncak yang lain, yang setia menanti untuk ditakluki.

(Visited 137 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published.