PKP, Kontraktor dan SOP CIDB

Kontraktor perlu peka pada pematuhan SOP CIDB bagi mengurangkan jangkitan Covid-19 di tapak bina.

Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 1.0 yang bermula pada 18 Mac 2020, telah merakam satu sejarah besar kepada semua rakyat Malaysia.

Ia dijalankan di bawah satu perintah larangan di Akta 342, untuk mencegah dan mengawal pandemik Covid-19.

Perintah larangan ini sekaligus menyebabkan kerja-kerja binaan di tapak bina, diberhentikan serta merta.

PKP 1.0 menyaksikan 8 fasa, iaitu Fasa 1 (18 Mac-31Mac), Fasa 2 (1 April-14 April) dan Fasa 3 (15 April-28 April) dan Fasa 4 (29 April-12 Mei 2020).

Kemudian semasa Fasa 5, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan pada 13 Mei 2020.

PKPB ini memberi kelonggaran membuka semula ekonomi negara. Salah satunya adalah membenarkan penggiat industri binaan dalam kategori kerja tertentu menyambung semula kerja-kerja binaan.

Semua kerja binaan hendalah dibuat berpandukan SOP Binaan yang dibangunkan CIDB.

SOP Binaan ini dipertingkatkan dari masa ke semasa dan digunapakai hinggalah selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 31 Disember 2020.

Secara kasarnya, PKP 1.0 telah dijalankan selama 15 Bulan 13 Hari. Dengan 8 Fasa yang bermula 18 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2020.

Fasa 1 (PKP) : 18 Mac – 31 Mac 2020
Fasa 2 (PKP) : 1 April – 14 April 2020
Fasa 3 (PKP) : 15 April – 28 April 2020
Fasa 4 (PKP) : 29 April – 12 Mei 2020
Fasa 5 (PKPB) : 13 Mei – 9 Jun 2020
Fasa 6 (PKPP) : 10 Jun – 31 Ogos 2020
Fasa 7 (PKPP) : 1 September – 31 Disember 2020
Fasa 8 (PKPP) : 1 Januari – 31 Mac 2021

Akibat peningkatan kes yang mendadak pada awal tahun 2021, PKP 2.0 mula dikenakan bermula 11 Januari 2021 hingga 4 Februari 2021.

Berikutan PKP 2.0 ini, CIDB sekali lagi telah mengeluarkan SOP Sektor Pembinaan, untuk rujukan pemain industri.

Hari ini 30 Januari 2021, kes positif Covid 19 telah mencatat satu jumlah paling tinggi kes baharu iaitu 5,728. Sementara jumlah keseluruhan kes tercatat di Malaysia sehingga hari ini mencecah 209,661 kes.

Kluster Binaan antara kluster yang dikenalpasti turut menyumbang kepada jumlah kes. Antara punca kes adalah akibat pergerakan pekerja yang bergejala dari satu lokasi tapak bina ke lokasi lain.

Untuk kontraktor yang menjalankan aktiviti binaan, perlu ambil tahu SOP ini dan melaksanakannya di tapak bina.

Terdapat 15 Perkara Utama disebutkan dalam SOP Binaan ini untuk rujukan pemain industri. Ini kupasan ringkas.

PERKARA 1 – Hanya 5 jenis kerja binaan yang dibenarkan dalam sektor binaan. Kontraktor perlu mendapatkan Kebenaran beroperasi dari sistem CIMS MITI. Kebenaran ini hendaklah dipamerkan di tapak bina bersama maklumat projek yang mengandungi butiran yang dinyatakan dalam SOP ini. 5 jenis kerja binaan yang dibenarkan dalam sektor pembinaan adalah:

  1. Kerja-kerja selenggara dan pembaikan yang mampu memberikan kesan bahaya dan mudarat kepada pekerja, orang awam atau persekitaran kerja binaan itu.
  2. Kerja-kerja Infra yang menggunakan jentera dan tidak melibatkan ramai pekerja berkumpul di satu tempat atau tapak lokasi jauh dari orang awam.
  3. Kerja-kerja Binaan Bangunan yang mempunyai fasiliti tapak yang dilengkapi Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).
  4. Perkhidmatan Profesional atau Perunding seperti arkitek, jurutera, juruukur bagi kerja-kerja 1-3 diatas.
  5. Perkhidmatan dalam rantaian bekalan seperti membekal dan menghantar bahan binaan, kemasan dan lengkapan bagi kerja-kerja 1-3 diatas.

PERKARA 2 – Kontraktor mestilah menghadkan bilangan pekerja di tapak bina bagi membolehkan social distancing atau penjarakan fizikal 1 meter dilakukan. Bagi pekerja yang tidak bekerja di tapak bina, galakkan sistem kerja dari rumah atau work from home. Apa jua perbincangan yang perlu hendaklah dilakukan dalam talian menggunakan applikasi seperti zoom, jetsi, atau yang serupa dengannya.

PERKARA 3 – Bagi tapak bina yang menyediakan fasiliti kediaman Kuarters Pekerja Berpusat atau CLQ (Centralised Labour Quarters) mestilah menyediakan pengangkutan untuk pekerja ini bergerak dari CLQ ke tapak bina. Kenderaan ini perlu sentiasa dibersihkan dengan nyahkuman atau disinfeksi.

PERKARA 4 – Bagi pekerja yang melakukan perjalanan dari rumah ke tempat kerja, mesti diberikan surat perakuan dari majikan dan surat kelulusan dari MITI. Pekerja yang baru pulang dari negara luar tidak dibenarkan masuk ke tapak bina selama 10 hari.

PERKARA 5 – Bagi tapak binaan yang menerima bahan bekalan ke tapak bina, kontraktor mestilah merekod butiran pemandu dan pekerja mereka yang masuk ke tapak bina. Suhu badan penghantar bekalan ini hendaklah diimbas ketika memasuki tapak bina atau premis kerja dan kemasukan mereka mestilah didaftar masuk melalui appplikasi MySejahtera.

PERKARA 6 – Kontraktor hendaklah sentiasa membuat hebahan tentang pencegahan wabak. Amalkan 3W iaitu Wash (basuh tangan), Wear (memakai pelitup separuh muka di tempat awam) dan Warn (sentiasa memberi peringatan. Juga memberi amaran jika perlu). Elakkan 3S iaitu Sesak, Sempit dan Sembang dalam jarak dekat.

PERKARA 7 – Kontraktor perlu memastikan langkah-langkah pencegahan dilakukan dengan melantik seorang penyelaras, yang akan memastikan SOP PKP dipatuhi.

Kontraktor juga mesti membangunkan pelan tindakan kecemasan atau ERP (Emergency Response Plan) bagi menangani jangkitan atau gejala yang timbul di kalangan pekerja. Pastikan pekerja mendapat rawatan, lakukan disinfeksi KKM di tapak bina, sediakan rawatan segera, lakukan saringan terhadap kontak rapat pekerja bergejala adalah antara perkara dalam ERP yang dibangunkan.

PERKARA 8 – Kontraktor mesti memaparkan QR Code MySejahtera di tapak bina dan premis masuk untuk diimbas oleh pekerja atau pembekal yang mahu masuk ke tapak bina atau premis niaga.

PERKARA 9 – Sebelum memulakan kerja – Kontraktor perlu merekod pergerakan keluar masuk pekerja di tapak bina dan mendapatkan butiran pekerja bagi mengesan kontak rapat sekiranya ada jangkitan.

Pekerja yang mempunyai gejala awal Covid-19 seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas dan mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 celcius hendaklah dilarang masuk ke tapak atau premis bina. Kontraktor juga perlu menyediakan air sabun atau sanitizer di pintu masuk dan keluar premis.

PERKARA 10 – Semasa aktiviti kerja – Kontraktor perlulah menilai risiko jangkitan dalam penyampaian kerja. Jumlah pekerja dalam tapak bina mestilah dapat mengekalkan penjara fizikal 1 meter di kalangan mereka.

Kontraktor juga perlu mengurangkan aktiviti di ruang tertutup. Apabila perlu melakukan perbincangan, lakukan secara maya atau penjarakan fizikal. Kontraktor juga perlu memantau pekerja agar tidak berkumpul.

Bekalkan pekerja dengan pelitup separuh muka atau face mask. Sediakan sanitizer dan sentiasa melakukan disinfeksi. Bagi pekerja yang bergejala, pelan tindakan kecemasan atau ERP mesti segera dlaksanakan.

PERKARA 11 – Kontraktor perlu pastikan tandas yang digunakan sentiasa dinyahkuman secara berjadual dan berekod .

PERKARA 12 – Semasa rehat – Kontraktor perlu mengawal pergerakan pekerja di waktu rehat dengan membuat jadual rehat berperingkat. Pastikan mereka tidak berkumpul dan sediakan makanan berbungkus dari penyedia makanan yang memakai pelitup separuh muka serta sarung tangan.

PERKARA 13 – Setelah selesai kerja – Kontraktor mestilah sentiasa mengingatkan pekerja untuk terus mandi apabila sampai di rumah atau CLQ mereka. Sentiasa ingatkan mereka untuk mengamalkan kebersihan diri serta segera maklumkan sekiranya ada gejala Covid 19 di kalangan rakan kerja mereka.

PERKARA 14 – Bagi kontraktor yang menyediakan fasiliti Kediaman – CLQ ini perlu sentiasa dinyahkuman sekurang-kurangnya tiga (3) kali sehari. CLQ ini juga perlu disediakan hand sanitizer di tempat kediaman mereka. Suhu badan diimbas dan saringan gejala Covid-19 sentiasa dilakukan. Pekerja sentiasa dibekalkan dengan pelitup muka, dipantau penjarakan sosial dan aktiviti berkumpulan.

PERKARA 15 – Segala pengurusan dan penyeliaan SOP Tapak Bina ini mestilah disimpan segala rekod yang mengandungi butiran pekerja, kehadiran kerja , butiran saringan serta pergerakan pekerja.

Kontraktor juga perlu menyediakan rekod pengurusan kebersihan tapak bina/premis seperti proses pembersihan dan nyahkuman di semua kawasan yang berisiko dijangkiti wabak COVID-19.

Penilaian risiko jangkitan juga perlu direkodkan .

Begitu juga dengan pergerakan keluar masuk tapak oleh pekerja, pembekal barangan dan perkhidmatan dan mana-mana pihak yang berurusan. Rekod pemeriksaan oleh Pihak Berkuasa juga perlu disimpan bersama dengan hebahan dan kesedaran yang dibuat di kalangan pekerja.

Kesemua maklumat lebih lanjut mengenai 15 Perkara diatas serta informasi terkini boleh dibaca dengan lebih terperinci di laman web CIDB.

Pantau Kawasan Binaan Kita. Sama-sama kita putuskan rantaian ini.

Sentiasa dapatkan berita terkini Covid-19 agar kita tahu apa yang perlu dilakukan.

Bagi kontraktor yang baru sahaja menceburi bidang ini, segera dapatkan buku 77 Cara Bagaimana Memulakan Perniagaan Kontraktor, sementara stok masih ada.

Mahanom Mohammad

(Visited 351 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published.