Soft skills merujuk kepada kemahiran interpersonal dan kualiti diri yang melengkapi kemahiran teknikal dalam sesuatu bidang pekerjaan. Bagi seorang kontraktor, soft skills memainkan peranan penting kerana mereka bukan sahaja bekerja dengan mesin dan jentera, tetapi juga berurusan dengan manusia – klien, perunding binaan, tukang, kontraktor sub, pembekal dan pengawal selia undang-undang.
Ada banyak kemahiran soft skills yang perlu dikuasai oleh kontraktor. Salah satunya adalah Skil Berunding.
Skil Berunding (Negotiation Skills)
Pada tahun 2008, kami berhadapan dengan masalah harga besi naik melantun setiap minggu. Ketika itu pula sedang melaksanakan satu kontrak dengan JKR untuk membina surau dan satu projek dengan sebuah bank komersil untuk membekal pintu adang (hoarding) bagi satu tapak binaan membina bangunan ibu pejabat terbaharu mereka.
Oleh kerana kontrak perjanjian sudah menetapkan harga persetujuan, maka kami tiada pilihan lain terpaksa terus melaksanakan kerja tersebut dengan harga lama, walaupun harga besi dari pembekal telah berubah naik hingga 40%. Kedua projek ini sudah dalam kategori projek rugi.
Semasa itulah kami membina kemahiran berunding.
Skil berunding merujuk kepada keupayaan kita mencapai persetujuan atau penyelesaian yang baik antara dua pihak dengan pendekatan yang adil. Skil ini Ia melibatkan kemahiran untuk mendengar, menilai situasi kemudian mencari penyelesaian yang boleh memuaskan kedua-dua pihak.
Skil ini sangat penting apabila kita berada dalam situasi perbezaan pendapat yang boleh mengundang konflik, atau ketika mencapai persetujuan dalam perjanjian.
Skil berunding penting untuk mencapai keputusan yang memberi manfaat kepada semua pihak, mengelakkan konflik yang berpanjangan dan membina hubungan profesional yang baik.
Untuk berunding dengan baik, seseorang perlu memahami keperluan dan kehendak semua pihak, bersikap fleksibel, mendengar secara aktif dan mencari jalan tengah yang memuaskan.
Kami berunding dengan pihak klien, perunding binaan dan juga pembekal. Dalam rundingan tersebut, kami maklumkan tentang kerugian yang terpaksa ditanggung dan risiko yang bakal dihadapi oleh klien sekiranya kami terpaksa mengundur diri dari projek ini.
Kami juga maklumkan kepada pembekal tentang ketidakupayaan kami untuk meneruskan perniagaan dan membeli dari mereka dalam jangka panjang sekiranya kami disenaraihitamkan oleh klien kerana gagal menyiapkan projek seperti dalam kontrak.
Pada masa yang sama, kami juga terbuka mendengar masalah yang dihadapi oleh klien, perunding dan pembekal sekiranya projek tidak dapat diteruskan dan pelbagai risiko yang mereka hadapi sekiranya kami tidak dapat menampung kerugian diatas kenaikan harga besi yang tidak dapat dikawal ketika itu.
Diakhir rundingan, kami akhirnya mencapai kata sepakat untuk mengurangkan skop kerja dan kuantiti asalkan projek masih dapat disiapkan dengan kadar kualiti yang boleh diterima oleh industri.
Kemahiran berunding sangat penting bagi kontraktor kerana dengan berunding kita dapat menyelesaikan banyak masalah dengan mencapai kesepakatan dengan pihak lain. Ia memerlukan kesabaran, bersikap terbuka, mendengar penuh empati dan paling penting pemilihan kata-kata yang dilontarkan dengan tonasi yang boleh sampai ke jiwa pihak yang kita berunding.
Berunding bukanlah bermakna kita hendak memenangi sesuatu perbincangan.
Tetapi, ia bermakna kita dan pihak lain – sama-sama beralah untuk sama-sama menang.