Bila kita sudah lama berniaga dan tidak nampak sebarang kemajuan dalam perniagaan, tibalah masanya kita semak semula dimana kurang dan silapnya. Ini 10 senarai yang kita boleh perhatikan.
1. Niat
Ini paling kritikal dan penting sekali. Niat bawa kita ke mana kita mahu pergi. Check niat berniaga itu untuk apa. Jika mahu kaya, kita hanya akan dapat kaya sahaja. Apa yang datang dengan kaya itu mungkin merbahaya kan diri sendiri. Boleh jadi nikmat. Boleh juga jadi istidraj.
2. Kenali Produk dan Servis
Tahu dan kenal betul produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan. Jika kontraktor bina rumah, tahu benar setiap komponen struktur itu apa, dan untuk apa. Jika kontraktor maintenance, tahu kenapa dan bagaimana. Kenal produk dan perkhidmatan seperti seorang ibu yang kenal anaknya.
3. VMO dan BMC
Visi, Misi, Objektif, tiga serangkai yang ramai guru bisnes beri. Setiap bisnes mesti ada visi. Mahu jadi apa, bila, kenapa dan mengapa. Barulah hala tuju nak capai visi itu ada misinya bagaimana. Barulah nampak objektifnya untuk capai tujuan apa. Kembali kepada niat semula.
BMC adalah singakatan Bisnes Model Canvas, huraian ringkas mengenai proses bisnes kita. BMC seperti tulang belakang. Bila ia jelas dan lurus insyaallah semuanya akan mudah. Bila ia bengkok dan berbelit itu yang jadi bisnes syok sendiri.
4. Pematuhan Industri
Perlu tahu undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan bisnes dan perkhidmatannya. Jika kontraktor bangunan mesti berdaftar dengan CIDB. Jika pengeluar makanan ada sijil Halalnya. Jika kontraktor bina rumah perlu ambil tahu UKBS.
5. SOP
SOP adalah standard operation prosedur dan aturan kerja. Ada rujukan bertulis tentang aturan kerja dan KPI piawaiannya. Bila ada SOP kerja, semua proses kerja akan berjalan lebih lancar. Pengurusan perniagaan ini adalah tulang belakang kita. Pastikan kita ada ilmu tentang struktur dan sistemnya.
Dimanakah semua SOP kita? Jika masih dalam kepala, segera bukukan dan dokumentasikan untuk rujukan semua pekerja.
6. Kos Perniagaan
Tahu kos operasi atau tanggungan perniagaan. Ada yang sebut fix overhead. Saya sebut Operation Expenses atau Opex. Tahu apa nak bayar setiap hari, setiap bulan mahupun setiap tahun. Tahu mana nak cari duit untuk tampung kos operasi ini. Tahu setiap bulan ada payment atau tidak, kos operasi tetap kena bayar.
7. Sales Target Yang Menguntungkan
Dah ada Opex, barulah buat sales target. Formula sales target mesti betul barulah buat bisnes ada untung. Boleh bayar zakat perniagaan. Boleh beli aset. Boleh bantu orang lain pula.
Perlu juga tahu kira untung supaya harga yang ditawarkan tidak merugikan perniagaan. Perlu tahu kira untung kasar untuk tampung CoGS dan tahu kira untung bersih untuk tampung Opex kita.
8. Kos Projek atau Kos Jualan
Tahu kos jualan atau modal kerja. Ada yang sebut kos projek. Saya sebut Cost of Goods Sales atau CoGs. Kos ini hanya ujud bila kita nak keluarkan produk atau uruskan projek. Tahu apa perkara yang perlu letak dalam CoGs ini. Jika kontraktor binaan bukan sekadar simen, besi, pasir ataupun konkrit. Tidak. Ada banyak lagi kos tersembunyi yang perlu diambil peduli.
9. Fahami Pasaran
Tahu pasaran. Kenali gerakan pasaran. Kenali tingkahlaku pengguna. Tahu beza peluang dan ancaman. Tahu beza kekuatan dan kelemahan.
Selepas itu bangunkan strategi. Tahu bila nak masuk padang berperang. Tahu bila nak duduk tepi lari dalam trek sendiri. Tahu bila nak berjalan bawah matahari. Tahu bagaimana nak bergerak dalam gelap cahaya.
Setelah memahami permainan pasaran. Cipta kempen marketing sendiri. Gunakan kekuatan sistem perniagaan, jenama serta nilai yang mahu diberikan.
10. Ada Nilai
Apakah nilai produk dan perniagaan anda. Jika tiada, bangunkan nilai, bangunkan nilai, bangunkan nilai. Bila ada nilai berharga, bajet pelanggan bukan lagi masalah utama. Periksa tahap auntetik kita. Buanglah semua kepalsuan diri. Jadi jujur. Honesty is the best policy.![]()
Boleh lihat senarai diatas dan buat skala dari 1 hingga 10. (1 paling lemah, 10 paling kuat).
Kira, buat analisa dan dapatkan bantuan pada area yang anda masih lemah.

Mahanom Mohammad