Selamat Datang 2021

Tahun baharu telah sampai. Tentulah kita mahu menyambutnya dengan semangat dan keazaman yang segar malar dan penuh nyala rasa. Apalagi kuncinya keazaman jika tidak dengan motivasi yang datang dari dalam diri, jika tidak dengan inspirasi dari keliling kita.

Tahun 2020 meninggalkan banyak memori terutama pandemik akibat virus corona 2019 atau dikenali sebagai Covid-19.

Tarikh 18 Mac 2020 memahatkan sejarah Malaysia apabila PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan buat pertama kalinya. Ia menjadikan kita semua terpaksa menjalani kehidupan yang berbeza, hingga setelah satu tempoh kekakuan itu menjadi satu kelaziman baharu pula, hingga kita jadikan ia Norma Baharu dalam hidup.

Slogan #KitaMestiMenang saya tambahkan dengan motivasi dalaman #KitaMestiTenang. Kerana dengan tenang kita dapat menguruskan segala kelibut yang muncul akibat wabak yang tidak dijangka ini.

Tahun 2020 saya tutup dengan penerbitan buku 77 Langkah, Dilihat Kecil, Langkahnya Gergasi, buku ke tiga setelah menerbitkan dua novel bisnes bersiri Kontraktor Jalanan. Awal tahun ini banyak menerbitkan e-book Covid-19.

Sempena PKP Tahun ini juga menyimpan memori bermakna apabila dijemput menjadi salah seorang dari 28 panel untuk Virtual Sekolah Penulisan Ramadan yang disertai hampir 2,500 peserta seluruh dunia.

Sempat juga ke Kuala Terengganu pada Ogos 2020, apabila diminta berkongsi Bina Rumah Sempurna, bagaimana pengurusan membina rumah dapat diuruskan dengan lancar mengikut sistem OSC dibawah Dasar Perumahan Negara yang mula diperkenalkan Pihak Berkuasa Tempatan pada awal 2018.

Selebihnya saya hanya menyantuni kontraktor pelapis yang memerlukan khidmat personal coaching untuk membangunkan bisnes mereka.

Tahun ini juga adalah tahun terakhir saya melibatkan diri sebagai Pengarah Eksekutif aktif di Emartech. Kini Emartech diambilalih oleh anak sulung dan insyaallah, jejaknya akan diikuti oleh adiknya selepas tamat pengajian arkiteknya nanti.

Tahun 2021, saya akan lebih aktif melakukan perkara yang lebih dekat dihati, disamping mengadaptasi perubahan yang berlaku dalam revolusi industri. Passion saya masih lagi membangunkan usahawan.

Tidak kiralah sama ada yang baru hendak bertatih, yang baru tegap berdiri dan berlari, yang jatuh tersungkur mahupun mereka yang mencari tangan untuk bangun semula.

Kerana apa? Kerana saya pernah berada dalam semua situasi ini. Tahu ertinya berlari tanpa tegapnya kaki dan terbang tinggi tanpa berkepak sayap.

Dan anda juga, untuk hari-hari mendatang, pastikan kita melakukan pekerjaan dan perniagaan yang dekat dihati kita, sepenuh rela, tanpa paksa. Hadirkan minat dan cinta, kerana ia akan jadi vitamin yang sentiasa mendorong kita untuk pergi lebih jauh lagi. Jadikan perkerjaan satu amalan baik dalam kehidupan. Jadikan perniagaan satu asbab yang dapat dijadikan jambatan ke syurga.

Sentiasa hidup dalam motivasi dan energi tinggi.

Sentiasa cari sumber inspirasi untuk terbang lebih tinggi.

Bagi anda yang mengikuti tulisan disini, terimakasih kerana sentiasa setia menanti tulisan baharu.

Selepas ini, insyaallah saya akan lebih banyak berkongsi disini.

Salam kasih 2021

Mahanom Mohammad

(Visited 83 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published.