Dijajah dalam Merdeka

Beratus tahun dahulu, orang Belanda, orang Inggeris datang ke tanah melayu untuk berdagang. Akhirnya mereka menjadi tuan pada tanah melayu. Sudah pastilah mereka berjaya kerana ada tali barut yang mahukan sedikit kesenangan dengan menerima rasuah wang dan jawatan. Beratus tahun juga nenek moyang kita berlawan mengusir penjajah untuk mewariskan tanah melayu pada anak cucu.

Kini, ada yang datang ke tanah air kita atas tiket melancong. Kemudian menjadi PATI. Mula bekerja dan akhirnya menjadi tauke sendiri. Sedikit demi sedikit kek ekonomi kita diambil mereka.

Dalam sektor binaan contohnya, ramai sudah warga asing jadi kontraktor. Pastilah kerana ada permintaan dan bekalan. Permintaan mahu rumah dibina dengan murah. Dan permintaan ini tidak dapat dipenuhi oleh kontraktor tempatan.

Bagaimana mahu beri harga murah bila kita tahu, antara tanggungjawab utama kontraktor adalah memastikan kaedah binaan wajib menggunakan kaedah yang ditetapkan oleh industri.

Bagaimana mahu beri harga murah bila kita wajib menggunakan bahan binaan yang ditetapkan oleh industri.

Dan ini semua, selain dari memastikan tuan rumah mendapat hasil binaan yang kukuh dan selamat, antara sebab lain adalah kerana ia kaedah dan bahan binaan ini disebut dalam akta dan peraturan2 yang ditetapkan dalam industri.

Siapakah yang mahu mendukung kedaulatan undang-undang, jika bukan kontraktor tempatan sendiri? Rasa-rasa warga asing pedulikah mahu menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang negara kita yang tercinta?

Pastinya tidak. Mereka hanya mahu penuhi permintaan harga murah. Guna soket tiada SIRIM, guna paip tiada MS, guna tetulang besi nipis dan ringan. Nak buat betul2 macam kontraktor berlesen, nanti harga murah yang diberi itu tak lepas pulak.

Janji rumah siap cantik di luar. Benda balik dinding, bawah lantai, atas siling, bukan tuan rumah tahu pun.

Sampah dan sisa binaan, campak sahaja di tepi jalan. Nak buang ditempat sepatutnya macam kontraktor berlesen kena buat, mahallah pulak. Nanti tak dapat nak caj murah.Jika rumah terbakar, retak atau pecah pun, bukan lagi masalah mereka. Itu masalah tuan rumahlah. Kan tukang2 repair ramai di Malaysia.

Memang ramai tukang repair di Malaysia, tapi adakah kontraktor asing ini fikir berapa banyak lagi duit tuan rumah perlu bayar untuk repair kerja mereka yang tidak berkualiti itu. Mentang-mentanglah tuan rumah tak tahu apa-apa pasal ilmu binaan, maka diberikannya harga murah seperti yang tuan rumah mahu.

Bila tuan rumah tanya itu ini, mereka goreng dengan mudah sekali.

Dan bila tuan rumah sedikit cerdik, mulalah mereka beri penjelasan, harga awal yang diberi tak termasuk itu dan ini. Jika nak buat macam yang tuan rumah mahu, kena tambahlah wang lagi ribu ribu. Dan dari situlah tuan rumah mula rasa ditipu. Tapi mahu mengadu pada siapa? Pergi tribunal memanglah tak laku, kerana kontraktor tiada dokumen sah. Hendak cerita pengalaman mereka ditipu warga asing, aishhh malulah nanti satu Malaysia tahu mudahnya mereka dipermainkan orang luar.

Bukan sahaja kontraktor tempatan dijajah pasaran mereka. Pemikiran tuan rumah juga sedikit demi sedikit mula diracuni mereka.

Dahulu, sebelum negara kita dijajah Inggeris dan Belanda, rumah datuk nenek moyang kita dibina cantik, menggunakan sumber alam semulajadi. Rotan, buluh, kayu, nipah, antara bahan utama. Tiada besi, tiada paku, tiada batu bata.Kemudian senibina rumah mula dipengaruhi oleh Belanda. Kaedah binaan moden mula mengambilalih.

Kini teknologi Industri 4.0 mula perkenalkan IBS, BIM, 4D dan banyak lagi. Dalam langkah negara mahu mertabatkan teknologi agar kita tidak terus tertinggal di persada dunia, rasa-rasa kontraktor warga asing duduk diam sahaja?

Tanggungjawab memastikan undang2 dipatuhi hanya diwajibkan pada kontraktor Malaysia.

Wajib berdaftar.

Wajib hadir kursus.

Wajib sain kontrak.

Wajib bina rumah ikut kaedah industri.

Jika tidak, akan ada aduan di CIDB, di PBT, di balai polis, di seret ke tribunal dan mahkamah tinggi.Agensi yang wajib kawal PATI, seperti cuci tangan dan kaki.

Dalam kita mengejar kemajuan pembangunan, keselarian menjaga alam sekitar, mendukung cita dan perlembagaan negara, ada perkara yang kita masih tidak dapat penuhi, iaitu: Memenuhi permintaan harga murah.

Dan akhirnya, kita biarkan sahaja pemikiran tuan rumah terus dijajah oleh kontraktor asing. Sedikit demi sedikit hingga penempatan dan budaya mereka mula bertapak kuat dan mereka menjadi besar kepala. Dan apabila sudah kuat, mulalah mereka menuntut pelbagai hak atas nama hak asasi manusia.Lama kelamaan, kita sendirilah yang mewariskan negara pada anak cucu mereka. Hingga, akhirnya anak cucu kita nanti, akan mendendangkan semula lagu Anak Kecil Main Api. Bumi dipijak milik orang.

✍️

Mahanom Mohammad

Salam Merdeka

31Ogos2021

(Visited 93 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *