Hari ini , 12 Rabi’ul awwal 1442 Hijrah, seluruh umat Islam menyambut sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai tanda cinta kepada kekasih Allah ini..
Maulidur Rasul mengingatkan kita kepada perjuangan Rasulullah dalam menegakkan syiar Islam. Menghayati sirah dapat membantu membersihkan jiwa dan hati kita melalui akhlak dan nasihat Baginda SAW .
Kita dianjurkan untuk mengetahui peribadi Baginda Nabi dan mengamalkan sunnah dalam kehidupan seharian.
Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah al-Ahzab ayat 21)
Rasulullah SAW mempunyai keluhuran akhlak yang baik dan patut dilaksanakan dalam perniagaan, sebagaimana akhlak Rasulullah sendiri dalam berniaga hingga berjaya membangunkan ekonomi ummah.
Kita tahu Rasulullah sendiri adalah peniaga yang berjaya. Seawal usia 9 tahun (ada riwayat mengatakan pada usia 12 tahun), Baginda mula mengikuti ayahanda saudaranya Abu Talib berdagang hingga ke Syam.
Kemudian pada usia 25 tahun Baginda mula menguruskan perniagaan dagangan Khadijah binti Khuwalid dengan jayanya.
Pada usia 53 tahun, Baginda berhijrah ke Kota Madinah. Dan antara perkara yang Baginda lakukan adalah membina ekonomi baru yang lebih telus dan adil mengantikan cara perniagaan yang menindas para peniaga sebelum ini.
Sebelum itu, ekonomi Kota Madinah diuruskan oleh Yahudi yang banyak menindas peniaga kecil.
Tiba-tiba, hati saya tersentuh bila teringat kisah bagaimana waktu itu ekonomi di Madinah banyak dimonopoli oleh bangsa Yahudi. Sistem jual beli penuh dengan penindasan dan penipuan yang berasaskan riba. Cukai dan sewa yang tinggi dikenakan pada peniaga yang mahu berniaga dalam pasar yang mereka bina.
Yang kaya semakin kaya. Yang miskin terhimpit tanpa peluang dibuka.
Banyak perkara yang boleh dipelajari dari cara Baginda memecahkan monopoli ini. Pasar baru dibuka menggunakan model perniagaan yang dijalankan dengan konsep terbuka.
Prinsip muamalah menekankan displin, masa, kontrak, kebersihan dan mengamalkan akhlak yang baik seperti reda, ikhlas, amanah, pemurah, menghormati pelanggan, cermat, jujur, sentiasa bersyukur dan menjadikan perniagaan itu satu amalan dalam tingkah laku seharian.
Berada dalam industri binaan, banyak amalan buruk seperti rasuah, salah guna lesen, menggunakan orang dalam, menipu kontrak, menyertai tender guna taktik kartel, membuat tuntutan palsu, menjadi proksi lesen, dan banyak lagi hingga menindas kontraktor-kontraktor kecil yang benar-benar mahu berniaga dalam industri ini.
Sebenarnya monopoli pihak ini boleh dipecahkan bila kita sama-sama berganding bahu dalam memerangi mereka. Kita masih boleh menawan pasaran dengan berbekalkan model perniagaan berpaksi amalan prinsip dan displin perniagaan seperti yang dianjurkan Rasululllah.
Begitu juga dalam industri lain, kejayaan yang diberkati boleh diraih dengan amalan akhlak yang baik, yang boleh dipelajari dari akhlak Rasulullah SAW sendiri.
Marilah kita mula mengamalkan sunnah dalam menjalankan aktiviti perniagaan.
Menjadi pintar dan jujur, mempunyai adab dan displin, memelihara sifat murni dalam diri.
Insyaallah, alang-alang kita berniaga, jadikan ia jambatan untuk raih redha Allah menuju ke syurga.
Salam Maulidur Rasul.
Mahanom Mohammad
.