Risiko menjadi usahawan adalah apabila mengalami kerugian dalam perniagaan. Kerugian boleh menyebabkan emosi terganggu, mengalami tekanan hidup, hutang keliling pinggang, kesukaran membayar gaji pekerja dan menguruskan perniagaan.
Begitu juga kontraktor. Risiko terbesar yang perlu dihadapi oleh kontraktor bukanlah tidak mendapat projek. Tetapi apabila projek yang diuruskan itu mencatat rugi.
Kegembiraan mendapat kontrak beratus ribu berakhir dengan termenung panjang apabila akaun mencatit rugi beratus-ratus ribu. Ada banyak sebab projek boleh menjadi rugi.
Antaranya:-
1. Tiada lantikan hitam putih seperti PO atau Kontrak lengkap yang mempunyai harga, tempoh dan skop kerja.
2. Kegagalan menguruskan perubahan kerja atau VO (variation order) mengikut SOP pelanggan.
3. Lewat melaksanakan projek tanpa kebenaran hingga denda LAD menjadi tinggi.
4. Gagal membaiki kecacatan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.
5. Kesilapan pengukuran dan pemberian harga.
6. Kegagalan melaksanakan kerja mengikut kaedah binaan yang ditetapkan.
7. Kesilapan teknikal yang melibatkan kerja rekabentuk, struktur, pemasangan paip, sistem kumbahan, sistem M&E dan pelbagai lagi.
8. Ketidakpatuhan dalam dokumentasi dan pelaporan yang dikehendaki.
9. Kegagalan mengenal pasti kesilapan dalam pelan, BQ atau tapak binaan.
Sebenarnya ada banyak lagi kesilapan yang dilakukan kontraktor sama ada kerana tiada pengalaman atau tidak cukup kemahiran. Kesilapan dan kegagalan ini pula hanyalah sebahagian kecil dari risiko yang perlu dikenalpasti semasa fasa menyertai tender, menyediakan sebutharga, melakukan setting out, melaksanakan fasa-fasa awalan kerja hinggalah binaan siap dan diserahkan kepada pelanggan.