Apabila kita bersungguh dan bersedia, kita pasti akan dapat capai kejayaan dengan apa yang diusahakan.
1. Tahun 2018, selepas raya, saya umumkan mahu buat sesuatu yang awesome sebelum umur cecah 50 tahun. Saya pilih untuk mendaki Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.
2. Ironinya, saya bukanlah seorang yang gemar melakukan aktiviti outdoor. Apatah lagi seumur hidup tidak pernah mendaki mana-mana bukit, hatta Bukit Tabur di belakang rumah sekali pun.
3. Namun, keinginan untuk cipta sejarah peribadi jadi satu ‘push button’ untuk keluarkan potensi diri yang ada.
Setiap kita mampu lakukan apa sahaja, asalkan bersedia keluar dari zon selesa. Bebaskan diri dari ikatan tali melimitasi diri. Kemudian segera ubah kapasiti sedia ada.
4. Dalam kehidupan, ada perkara tidak boleh dikawal dan diubah. Contohnya, kita tidak boleh ubah genetik diri, bangsa, struktur tulang dan warna kulit, mata bundar atau sepet yang ada semenjak dilahirkan.
5. Ada juga perkara yang boleh ubah bila kita mahu. Asalkan kita berusaha bersungguh. Asalkan kita bukan penghalang diri sendiri untuk besarkan kemampuan yang telah bersarang tanpa kita sedari.
6. Berbalik kepada cita-cita mahu keluarkan potensi diri untuk daki gunung tertinggi, saya senaraikan tujuh perkara untuk diuruskan 100 hari sebelum pendakian bermula.
7. Tujuh perkara tersebut adalah
– kemampuan dari segi tenaga
– kemampuan mengurus emosi
– kemampuan berfikiran lebih rational
– kemampuan membina hubungan (dengan alam, binatang dan manusia),
– kemampuan berdaya kreatif dengan senarai pilihan yang ada
– kemampuan untuk sampai sekurangnya hingga ke Laban Rata (tempat persinggahan)
– kemampuan untuk memimpin sesuatu bila perlu
8. Dalam menguruskan perkara diatas, saya mula sedari banyak perkara diluar jangkaan dapat diselesaikan dengan mudah.
Contoh, dalam kepayahan berhadapan dengan lapisan oksigen yang semakin nipis, saya berjaya hingga ke Laban Rata.
9. Meskipun terdapat halangan dan ujian sepanjang pendakian, apabila kita telah bersedia, semuanya mudah untuk diuruskan.
Apabila perjalanan terhenti berdekatan dengan laluan runtuhan gunung dahulu di waktu magrib, kami mula mendengar suara-suara.
Malim gunung sendiri sudah resah. Namun persediaan spiritual menjadikan kami fokus untuk teruskan perjalanan.
10. Mendaki Gunung Kinabalu tanpa pengalaman mendaki mana-mana gunung mengajar saya satu perkara.
Apabila kita bersungguh dan bersedia, kita pasti akan dapat capai kejayaan dengan apa yang diusahakan.
11. Hari ini saya sudah mula bekerja. Kali ini dalam usaha membida satu projek yang tidak pernah dilakukan. Ia satu cabaran peribadi pada diri sendiri.
Projek kolaborasi ini, insyaallah bila berjaya, akan jadi satu tanda aras pada pemain industri yang lain.
Keluarkan potensi diri.
Keluarkan hari ini.
Besarkan kemampuan diri.
Kembangkan ia hingga dapat menakluk dunia.
