Selalu saya dapat mesej yang kenalkan diri mereka sebagai pewaris lesen. Mereka mewarisi lesen sama ada dari pasangan atau dari orang tua, tidak kira sama ada masih hidup mahupun telah tiada.
Tidak memeranjatkan apabila mereka bercerita, lesen tersebut, sebelum ini hanya digunakan untuk disewa kepada kontraktor lain. Aktiviti perniagaan kontraktor adalah menyewa lesen tersebut untuk mendapatkan kerja. Apabila surat tawaran diterima dan ditandatangani oleh pemegang lesen, ia wajib disubtotalkan kepada rakan yang menyewanya untuk mendapatkan kerja tersebut.
Sebagai timbal balik, 5% dari nilai projek akan diambil oleh pemegang lesen apabila 100% payment diterima. Baki 95% pula diambil oleh rakan yang menyewanya.
Sama ada itu kerja tulen atau sekadar tuntutan palsu, pemegang lesen tidak tahu.
Sama ada itu kerja itu melibatkan aktiviti rasuah dan tidak berintegriti pun, pemegang lesen tiada cara untuk tahu.
Ini adalah aktiviti perniagaan tidak bermoral. Ia jelas disebutkan dalam lesen itu sendiri. Kerja tidak boleh bertukar milik. Malah total sub memang tidak dibenarkan sama sekali.
Sudah ada lesen-lesen yang disenarai hitamkan kerana menjalankan aktiviti-aktivit tidak beretika seperti ini.
Minda Pewaris
Namun, apa yang memeranjatkan adalah, pewaris ini sendiri tidak mahu lagi menjalankan modus operandi yang sama.
Mereka mahu jalankan sendiri.
Pertanyaan mereka selalunya bagaimana hendak bermula?
Ada yang sudah lama membantu perniagaan orang tua dan ingin melakukan perubahan pada pengurusan. Tapi tiada idea dan tidak tahu cara yang sebetulnya.
Baiklah. Saya turunkan sedikit panduan.
Kemahiran dan Kompetensi
Pertamanya, suka atau tidak, kena tahu jenis kemahiran yang diperlukan untuk menyampaikan kerja yang mahu dipelopori.
Contoh, mahu melakukan kerja-kerja mendirikan struktur, non-struktur atau sistem sokongan kepada struktur ini bagi melengkapkan bangunan itu berfungsi, seperti sistem M&E dan plumbing. Setelah tahu kemahiran yang diperlukan, berusahalah mempelajarinya dengan ambil kursus2 yang berkaitan.
Sudah belajar dalam kelas, belajar pula di tapak, untuk asah skil dan validasikan apa yang dipelajari. Ini penting supaya kita sendiri boleh pantau kerja2 ditapak dan menetapkan aras kualiti bagi kerja2 kita. Lama-lama ia akan jadi satu value yang menjadikan pelanggan yakin pada kita.
Bangunkan Sistem Kerja
Keduanya, fahami proses yang berlaku pada semua aktiviti kerja. Kemudian bangunkan sistem. Ini tidak mudah dan tiada jalan singkat melakukannya.
Bila kita tidak faham proses sesuatu aktiviti itu, kita akan mudah melakukan kesilapan yang merugikan wang ringgit, masa, tenaga serta menjadi beban emosi.
Kenalpasti Aktiviti
Ketiganya, ambil tahu semua aktiviti yang berlaku dalam perniagaan.
Aktiviti kewangan contohnya. Ambil tahu apakah aktiviti dan dokumen yang terlibat dari memesan, membeli dan membayar apa jua perbelanjaan yang dilakukan. Apakah aktiviti dan dokumen yang perlu ada apabila menerima wang masuk.
Bagaimana mendapatkan modal kerja untuk fund projek kita. Bagaimana pula menguruskannya dengan baik agar tidak terperangkap dengan gejala, rolling duit projek A untuk tampung projek B.
Ambil tahu apakah aktiviti sepanjang menguruskan projek. Contohnya, dokumen yang perlu disediakan sebagai bukti kerja, pemantauan, audit tapak, mobilasation, QA/QC, risiko, TNC dan lain-lain sehingga projek diterima baik oleh pelanggan hingga tiada masalah untuk menuntut pembayaran.
Bagaimana nak kurangkan masalah yang timbul semasa fasa design, pengukuran, penggiraan harga, kandungan kontrak. semasa membina dan serah tapak?
Ambil tahu sebelum projek bermula. Bukan bila dah terhantuk baru terhegeh-hegeh mesej otai pukul 2-3 pagi. Yelah dari 10 pagi sampai 10 malam buntu, tak tahu nak buat apakan.
Ambil tahu juga isu-isu di luar kawalan yang sering berlaku semasa membina. Contohnya isu Bon,EOT, LAD, VO, VOP, Safety, Kemalangan di tapak, traffic management, NCR, NCP, CNC, Termination, defect, CMGD dan banyak lagi hingga kita mampu keluarkan final akaun.
Apa beza final akaun semasa menguruskan projek dengan final akaun bila buat audit laporan kewangan?
Banyak lagi aktiviti lain dalam perniagaan yang kita perlu tahu. Kena tahu aktiviti yang terlibat dalam kempen pemasaran, pitching ketika berjumpa pelanggan untuk close project, pembentangan dokumen ketika masuk sebutharga dan tender, bagaimana nak tepis rasuah dan pelbagai lagi.
Aktiviti seperti cara menubuhkan team dalaman, mengekalkan tukang supaya tidak lari, mematuhi peraturan dan pematuhan yang ditetapkan – semua ini perlu tahu.
Fahami Proses
Perlu faham proses yang berlaku. Selepas itu bangunkan sistem dan dokumentasinya kepada SOP. Bunyinya sukar. Tetapi apabila kita mendapatkan panduan yang betul. Faham bagaimana semua ini sangat membantu dalam menaikkan value kita sebagai kontraktor, perkataan sukar itu akan hilang, malah timbul minat mendalam.
Minat itu timbul apabila kita sedar itulah antara kunci kejayaan perniagaan kontraktor yang kita warisi dari pasangan dan orang tua kita.
Selepas itu usah risau nak kejar pasaran sedia ada. Ia akan datang sendiri dari pelanggan2 yang pernah mengambil perkhidmatan sebelum ini.
Pewaris hanya perlu besarkan langkah memasuki pasaran baharu atau mencipta pasaran sendiri.
Dapat tak gambarannya?
Dalam sibuk membangunkan konten untuk program ‘Bina Semula’ pada 1 & 2 Mac nanti, bulan februari pula aktiviti saya dipenuhi dengan membantu membimbing 3 pewaris lesen dari orang tua mereka.
Mujur ada pengalaman mewariskan perniagaan pada anak-anak sendiri.
Mewarisi perniagaan yang mempunyai lesen kontraktor adalah satu manafaat besar. Kebanyakkan struktur dan foundation sudahpun dibina.
Pewaris hanya perlu berteduh sambil melengkapkan sistem dan membaiki struktur yang rosak.
Ia akan menambah nilai dan harga mahal pada perniagaan itu sendiri.
Bagi pewaris lesen yang ada soalan, boleh turunkan di ruang komen nanti.