Setiap kontraktor pastinya mempunyai satu destinasi yang sama iaitu untuk menjadi kontraktor berjaya.
Untuk sampai ke destinasi tersebut, ada 5 peringkat yang perlu kita lalui dalam perjalanan. Antaranya adalah:
PERINGKAT PERTAMA : LAHIRKAN KESEDARAN
Kita perlu ada kesedaran perihal banyak perkara yang perlu ada dalam perniagaan kita. Antaranya adalah seperti berikut:
- apakah proses yang terlibat semasa kita melaksanakan kerja yang dikontrakkan kepada kita
- kenapakah proses-proses ini perlu ada dalam fasa perlaksanaan itu
- siapakah yang terlibat dalam proses perlaksanaan kerja
- bilakah mereka diperlukan
- dimanakah mereka ini berada
- bagaimana kita mahu mendapatkan mereka
- sepanjang perlaksanaan ini, apakah yang perlu dilakukan apabila ada transaksi wang masuk dan wang keluar?
- apakah yang perlu dilakukan apabila kita mahu mengambil pekerja dan memastikan mereka cemerlang dan tidak lari?
- bagaimanakah kita mahu memastikan projek tersebut mencapai objektif keuntungan perniagaan kita
dan pelbagai perkara yang perlu kita tanya diri sendiri, apakah perkara-perkara lain yang perlu ada untuk melengkapkan diri sebagai kontraktor.
Contohnya, kita mahu membina rumah untuk pelanggan.
- Maka kita perlu tahu antara proses-proses yang terlibat adalah seperti berikut:
a. Membersihkan tapak tanah, memadatkan tapak dan memagar tapak
b. Membuat setting tapak berdasarkan pelan pembangunan yang telah diluluskan
c. Mendirikan Asas Bangunan dari bahan binaan yang kuat, bukan sahaja untuk mengelak rumah dari tenggelam akibat hakisan atau apa sahaja gerakan yang berlaku, tetapi juga untuk menampung beban bangunan rumah dan mengagihkan bebanan tersebut ke ke seluruh tapak yang lain sebelum memindahnya ke bawah tanah.
- Kemudian kita kena tahu kenapa proses-proses ini perlu ada dalam fasa perlaksanaan pembinaan rumah tersebut.
Contohnya, kita mahu membina tapak rumah, antara prosesnya adalah mengorek tanah.
Kenapa kena menggorek tanah? Kerana kita perlu membuat lubang bagi mendirikan Asas Bangunan.
Kenapa perlu mendirikan Asas Bangunan di dalam lubang? Kerana ia adalah teknologi pemindahan beban dan dari segi rekabentuk, lantai rumah dapat didirikan di atas tanah, setelah lubang tersebut dikambus semula.
- Seterusnya kita perlu tahu siapakah yang terlibat dalam proses membersihkan tapak tanah, mengorek lubang untuk mendirikan Asas rumah hinggalah lengkap satu rumah didirikan. Begitulah seterusnya kita perlu ada kesedaran sebelum kita kita ke peringkat kedua.
Bagaimana kita mahu tahu apakah perkara-perkara lain yang perlu kita ada sebelum melangkah ke peringkat kedua?
Sebenarnya ada beberapa soalan yang kita perlu tanya diri kita untuk mendapatkan maklumat tersebut. Tetapi sekiranya kita tidak menjumpai jawapan yang pasti, maka kita boleh dapatkan maklumat itu melalui;
- Hadir kursus atau cari kelas yang dapat membantu kita tahu apakah komponen lengkap yang perlu ada bagi seorang usahawan kontraktor.
- Belajar dari kontraktor berpengalaman.
- Buat kajian melalui pembacaan, tontonan dan pengumpulan maklumat yang lain.
PERINGKAT KEDUA : LAHIRKAN KEFAHAMAN
Peringkat ini adalah fasa mencari ilmu bagi mendalami dan mempelajari setiap komponen tersebut.
Kita boleh dapatkan ilmu ini dari guru yang mengajar berdasarkan kefahamannya, guru yang mengajar dari pengalamannya atau guru yang mengajar lahir dari kesedarannya sendiri.
Ilmu terbaik adalah ilmu yang telah diiktiraf dari sudut teori dan telah divalidasi di lapangan.
PERINGKAT KETIGA : PASTIKAN PENGAMALAN
Ilmu yang berkat adalah apabila kita buat apa yang kita pelajari.
Ini adalah peringkat mengamalkan apa yang telah dipelajari. Setiap ilmu itu, asasnya sama, tetapi hasilnya boleh jadi berbeza kerana diamalkan oleh pengamal yang berbeza dari sudut kefahaman dan pengamatan mereka.
Setiap amalan itu perlu dilakukan sekerap mungkin bagi mengasah kemahiran dan melahirkan hasil yang terbaik.
Hasil dari amalan yang dibuat kali sepuluh, selalunya lebih baik dari hasil yang dibuat pada kali pertama.
PERINGKAT KEEMPAT : AMALAN PENUH PENGHAYATAN
Sesudah kita mendapat hasil terbaik dari amalan ilmu yang kita pelajari, peringkat seterusnya adalah menghayati sendiri setiap amalan tersebut.
Ada perbezaan kita mengerjakan pekerjaan kerana ‘rasa terpaksa’ berbanding dengan ‘rasa cinta’
Melakukan sesuatu kerana terpaksa contoh, terpaksa selesaikan kerana sudah ambil deposit, atau untuk mendapat upah bagi kelangsungan hidup, akan melahirkan rasa terseksa dan tidak ikhlas.
Berbanding melakukan sesuatu kerana minat, suka dan cinta, kita rasa seronok kerana dapat menghayati amalan yang kita pelajari hasil dari kesedaran.
Contohnya : Bila kita faham kenapa asas bangunan perlu kuat kerana fungsinya adalah memikul beban keseluruhan bangunan, dan ia hanya boleh menjalankan fungsinya dengan bentuk binaan yang direka oleh ahlinya (iaitu jurutera stuktur) menggunakan bahan binaan terpilih, maka setelah kita pelajari cara binaan asas yang betul, dan menghayatinya dengan memastikan proses binaan itu betul untuk mendapatkan hasil yang tepat, tidak akan timbul rasa penat, letih, terpaksa, tamak, menipu sukatan binaan dan lain-lain.
Malah kita sendiri mahu pastikan binaan asas itu dibina menggunakan rekaan yang betul, menggunakan sukatan bahan binaan yang betul dan melalui proses yang betul.
Maka, pastilah biaan rumah yang terhasil nanti, pasti melahirkan VE atau nilai kejuruteraannya tersendiri, walaupun secara hakikat, asas bangunan itu terletak di bawah tanah, tidak nampak dan kelihatan dengan mata kasar.
Sama seperti kita merasakan masakan ibu kita adalah yang paling sedap, kerana ia datang dengan penghayatan seorang ibu dan hasil air tangan ibu tadi tetap kekal di sanubari tidak kira walau berpuluh tahun lamanya.
PERINGKAT KELIMA : PENGHAYATAN PERLU DIPERJUANGKAN
Setelah kita dapat menghayati ilmu yang dipelajari dengan mengamalkannya penuh penghayatan, maka peringkat seterusnya adalah memperjuangkan ilmu tersebut.
Ini supaya ilmu itu terus menerus terpelihara.
Bayangkan sekiranya kita tiada ilmu membina Asas Bangunan yang betul, sudah pastilah kita akan membina asas itu dengan amalan yang dangkal. Kita lihat tukang mencurah konkrit dalam lubang tanpa sebarang acuan dan lapisan hingga lembapan konkrit itu terus menyerap ke dalam tanah, maka, kita pun lakukan benda yang sama.
Tetapi sebaliknya bila kita ada kesedaran perlukan ilmu membina Asas Bangunan yang betul, kita mencari ilmu itu dan kemudian mengamalkannya dengan penuh kesedaran dan penghayatan, pastilah ke mana sahaja kita pergi kita akan perjuangkan ilmu tersebut. Kita akan memastikan tiada jalan mudah untuk menghasilkan Asas Bangunan yang ada nilainya tersendiri sebagai satu paksi utama kepada keseluruhan bangunan tersebut.
Contohnya membina asas bangunan yang diberikan diatas adalah hanya kupasan apabila lahir kesedaran hendak membina rumah.
Apabila kita sedar kita perlu ada ilmu menguruskan perniagaan, atau ilmu menguruskan pelanggan, atau ilmu mentadbir perniagaan, maka kita masih perlu melalui pendekatan 5 peringkat ini, iaitu
(1) cetusan kesedaran
(2) mencari kefahaman
(3) mengamalkan ilmu yang difahami
(4) menghayati amalan; dan
(5) perjuangankan penghayatan.