Membina atau mengubahsuai bangunan tanpa kelulusan PBT.
Ini isu (baca sebagai masalah) popular dikalangan kontraktor.
Pematuhannya adalah mudah. Hantar pelan pada PBT. Tunggu lulus. Kemudian mulakan kerja binaan atau pengubahsuaian.
SOPnya begitu. Bunyinya mudah. Isunya tidak.
Maka ramailah mengambil jalan tengah. Samada buat tanpa sebarang kelulusan. Buat sementara menunggu kelulusan. Dan paling popular buat, tunggu rondaan PBT, kena saman, barulah hantar pelan untuk diluluskan.
Terdapat pelbagai risiko mengubahsuai tanpa kelulusan PBT.
Bukan setakat didenda, malah boleh diarahkan meroboh semula struktur indah yang telah dibina.
Kerapkali rasa berbelah bahagi itu timbul antara jadual kerja dan kehendak pelanggan yang mahu segera memasuki kediaman baru.
Maka tindakan dibuat mengikut penggiraan terbaik ketika itu.
“Apa cadangan puan?” tanya anak muda ini.
Adakan rancangan. Senaraikan tahap risiko. Adakah berisiko sangat tinggi, sederhana atau tiada risiko lansung.
Kemudian gunakan pendekatan 4T.
1. Take – ambil risiko dan senaraikan segala ancaman yang bakal timbul.
2. Treat – senaraikan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan terhadap ancaman akibat mengambil risiko tersebut.
3. Transfer – Ada risiko yang tidak berbaloi diambil. Jadi jangan ambil. Atau boleh dipindahkan bebanan kepada pihak lain.
4. Terminate – Buat keputusan. Mahu ambil risiko tersebut dan menyelesaikannya atau buat tidak tahu. Kemudian ambil risiko baru, jika masalah itu timbul kembali.
Hendak membina atau mengubahsuai kediaman. Dapatkan kontraktor yang ada tauliah. Dan faham isu pematuhan.
Ini juga dapat elakkan senario ‘rumah siap, pahat berbunyi’, atau ‘abang tukang’ lari bila dikejar PBT.