Penghadang Kerja

“Betul ke puan kawasan kerja kena letak penghadang?”

Betul, bukan saya reka-reka.

Di bawah AKTA 133. AKTA JALAN, PARIT DAN BANGUNAN 1974, ada 8 bahagian besar seperti berikut:

BAHAGIAN I – PERMULAAN mengenai akta

BAHAGIAN II – JALAN

BAHAGIAN III – PARIT

BAHAGIAN IV – LORONG BELAKANG

BAHAGIAN V – BANGUNAN

BAHAGIAN VI – PELBAGAI hal lain

BAHAGIAN VII – UNDANG-UNDANG KECIL

BAHAGIAN VIII – PEMANSUHAN, PERUNTUKAN PERALIHAN, DSB.

Di bawah Bahagian V – perihal Bangunan, seksyen 82 mengatakan Papan dinding hendaklah didirikan dalam masa kerja bangunan dijalankan seperti subsekyen berikut:

Subseksyen (1) Tiada seorang pun yang bercadang hendak membina atau meruntuhkan sesuatu bangunan atau mengubah atau membaiki bahagian luar sesuatu bangunan boleh berbuat demikian- tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan; dan – tanpa menyebabkan papan dinding atau pagar yang cukup dipasang untuk mengasingkan bangunan di mana kerja itu sedang dijalankan dari mana-mana jalan atau siar kaki.

Subseksyen (2) Jika kebenaran telah diberi kepada seseorang untuk melakukan mana-mana kerja yang dinyatakan dalam subseksyen (1), orang itu hendaklah—

(a) menyenggara papan dinding atau pagar itu sebagaimana dikehendaki dalam subseksyen (1) supaya berada dalam keadaan baik dan dengan memuaskan hati pihak berkuasa tempatan;

(b) menyebabkan supaya papan dinding atau pagar itu diterangi dengan lampu dengan sempurna pada waktu malam; dan (c) memindahkan papan dinding atau pagar itu atau apa-apa perancah yang digunakan dalam kerja itu dalam masa yang dinyatakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Penalti yang dikeluarkan apabila bersabit kesalahan di atas adalah seperti di bawah,

Subseksyen (3) Mana-mana orang tersebut yang melanggar subseksyen (1) dan (2) boleh apabila disabitkan didenda – tidak melebihi dua ribu ringgit dan juga boleh didenda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas suatu notis menghendakinya mematuhi peruntukan subseksyen (1) atau (2) itu telah disampaikan kepadanya.

📌

Letak penghadang tu bukanlah tertakluk pada bajet pemilik bangunan, budibicara atau common sense jiran dan orang awam, tapi peraturan yang diwajibkan.

Sekiranya tuan rumah melantik konsultan seperti arkitek, pihak konsultan akan maklumkan tentang the do and the dont supaya tuan rumah tidak dikenakan kompaun atau penalti kerana melanggar peraturan.

Apabila tuan rumah tidak melantik konsultan, maka kita sebagai kontraktorlah kena ambil tanggungjawab memaklumkan pada tuan rumah tanggungjawab mematuhi peraturan dan undang-undang.

Ini kerana kerja binaan melibatkan keselamatan serta pencemaran alam sekitar (habuk, bunyi dan sisa binaan/debris) yang boleh memberi kesan, bukan sahaja kepada kontraktor dan pekerja mereka, tetapi juga kepada pemilik rumah serta orang awam yang berada di sekeliling kawasan binaan tersebut.

Sekiranya selama ini kita ada minda kontraktor buat kerja secara ‘ikut-ikut suka hati’, naikkan tahap profesional kita kepada menjadi kontraktor yang ‘mengikut peraturan yang ditetapkan’.

Apabila kita menghormati profesion kontraktor kita sendiri, baharulah masyarakat sekeliling menghormati kita sebagai kontraktor pula.

🖋

Mahanom Mohammad

Mertabatkan Profesion Kontraktor

(Visited 30 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published.