Pematuhan undang-undang adalah salah satu perkara asas yang setiap kontraktor baru perlu tahu.

Pembinaan bukan hanya tentang mengangkat tukul atau membina struktur, tetapi melibatkan pelbagai aspek yang boleh menyebabkan sesuatu tindakan seperti tidak mengendahkan pematuhan perundangan, membawa bencana kepada projek yang sedang dilaksanakan.

Sebelum melangkah lebih jauh, seorang kontraktor mesti mengetahui asas yang mempengaruhi setiap fasa pembinaan.

Tanpa pemahaman ini, sebarang perancangan dan pelaksanaan projek akan terdedah dengan pelbagai masalah yang boleh menyebabkan kontraktor menemui kebuntuan hingga menhadapi tekanan perasaan hanya kerana meremehkan kepentingannya.

1. Apa itu Pematuhan Undang-Undang

Pematuhan undang-undang bermaksud kontraktor hendaklah memastikan setiap aktiviti di tapak pembinaan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Ini termasuklah peraturan memiliki lesen kontraktor, pematuhan keselamatan, undang-undang alam sekitar, serta perjanjian kontrak.

Secara mudahnya, pematuhan undang-undang memastikan segala kerja dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

2. Kenapa perlu mematuhi undang-undang

Undang-undang dibuat untuk menjaga keselamatan negara dan melindungi kesejahteraan rakyatnya.

Dengan undang-undang, kebajikan dan keselamatan pekerja akan terjaga, risiko kemalangan dapat dikurangkan, kualiti kerja yang tinggi dapat dipastikan.

Memahami undang-undang pembinaan dapat mengelakkan masalah dari didenda, peralatan dan jentera disita atau projek diarah dihentikan, hanya kerana telah melanggar undang-undang.

Antara kesalahan biasa yang dilakukan oleh kontraktor adalah seperti berikut –

  • melakukan kerja tanpa lesen kontraktor yang sah dari CIDB
  • melakukan kerja tanpa ada permit kerja dari PBT
  • melaksanakan kerja tidak mengikut piawaian yang diluluskan oleh klien
  • merosakkan alam sekitar dengan pencemaran bau, bunyi atau habuk di bawah peraturan JPS
  • mengupah warga asing tanpa permit kerja yang sah dari Imigresen
  • mengganggu ketenteraman orang awam atau mendedahkan mereka kepada bahaya

Apabila tindakan undang-undang diambil, kontraktor berisiko kehilangan reputasi, berhadapan dengan kes mahkamah, lesen digantung, projek dibatalkan atau klien tidak mahu membayar perkhidmatan kontraktor.

3. Memastikan Pematuhan

Cara terbaik untuk memastikan pematuhan undang-undang adalah dengan sentiasa mengambil tahu tentang peraturan terkini, mengambil langkah keselamatan yang mencukupi, dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Ini termasuk memastikan kontraktor cakna tentang peraturan sebelum memulakan kerja, menjalankan audit pematuhan secara berkala atau disetiap peringkat kerja dan memastikan dokumen yang melibatkan pematuhan perundangan disimpan dengan baik untuk rujukan.

Pemantauan secara berterusan dan pendidikan mengenai pematuhan juga perlu diberikan kepada pekerja, pembekal, kontraktor sub dan semua yang terlibat dalam pembinaan – sepanjang masa.

KESIMPULAN

Pematuhan undang-undang bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia adalah asas yang kukuh untuk memastikan projek berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Setiap pihak perlu memainkan peranan untuk mematuhi undang-undang yang ada demi memastikan kelangsungan projek dan mengelakkan kerugian besar.

Adalah rugi apabila kontraktor tidak mendapat bayaran dan terpaksa menanggung kerugian hanya kerana mengambil mudah tentang pematuhan perundangan.

Adakah berbaloi untuk melanggar undang-undang apabila kita sudah tahu risiko yang akan dihadapi nanti?

Mahanom Mohammad

(Visited 12 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *