Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.
Rujukan dan kupasan Hadis.
Ikhlas adalah satu akhlak terpuji yang ada pada Nabi Muhamad SAW.
Dalam berniaga, kita boleh mengamalkan akhlak yang baik ini bermula dari hari pertama kita berniaga.
Ikhlas juga bermula apabila kita putuskan kenapa mahu menjual produk dan perkhidmatan kepada pelanggan. Adakah kerana mahu untung yang tinggi? Atau kerana produk tersebut hampir luput tarikh mati?
Bagaimana pula layanan kita pada pelanggan? Adakah ikhlas melayan penuh sopan? Atau terpaksa kerana tiada pilihan?
Adakah kerana kita benar-benar mahu bantu pelanggan dapat apa yang diinginkan, atau berharap mereka akan membeli dari kita?
Apa yang akan kita buat bila di’reject’ pelanggan? Senyum manis di wajah dan redha, atau mengeluh terasa dunia kejam kerana tidak mendapat jualan seperti yang diharapkan?
Ikhlas adalah perbuatan dari hati. Dilakukan dengan niat untuk mendapat redha Allah Taala semata.
Apabila ikhlas, kita akan melakukan perbuatan dengan perasaan seronok dan tidak timbul rasa terpaksa.
Apabila ikhlas, setiap kebaikan yang lahir hasil dari perbuatan tersebut sentiasa mendapat manfaat dunia dan akhirat.
Ikhlas itu datang dari hati yang luhur. Tidak mengharapkan pada pujian . Dan tidak mengeluh kesah apabila mendapat kejian.
Dalam melayarkan bahtera perniagaan, kita meletakkan harapan agar air tenang sentiasa, cuaca indah berseri tidak kira malam atau pagi. Bila malam kita berharap dapat melihat ribuan taburan bintang berkelipan di langit. Di waktu siang pula kita mahu melihat ikan berenang bermain berkejaran sesama sendiri.
Namun adat pelayaran, kadang kala dipukul ombak kuat dan hujan lebat.
Begitu juga adat berniaga, kadang kala hampir gugur ditampar cabaran dan ujian yang hebat. Namun apabila kita berpegang kuat pada niat berniaga dengan penuh ikhlas, kita mudah dihijabkan jalan keluar. Hati akan sentiasa tenang kerana tahu Allah sentiasa ada bersama.
Melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan adalah perbuatan sunnah. Ia antara akhlak Rasulullah dan boleh diterapkan dalam amalan seharian ketika menguruskan perniagaan.
Setiap kita pasti mendapat apa yang kita niatkan.