“Macam mana boleh kenal saya?”
Selalunya itulah soalan ditanya bilamana bertemu silent reader yang mahu berjumpa. Selalunya mengenai kediaman mereka untuk kami bangunkan.
“Saya baca buku Kontraktor Jalanan yang puan tulis. Buku itu saya beli di Pesta Buku. Saya fikir dalam buku ini akan ada tips pasal buat rumah.
Dari mukasurat pertama, saya tak berhenti membaca. Mungkin sebab kami pun buat bisnes, walau berlainan bidang, kisah bisnes puan menyentuh hati saya.
Dari situ kami boleh agak, cara puan uruskan projek bagaimana. Itu yang kami mahu.” Panjang lebar prospek ini bercerita.
Dari buku tersebut, beliau mula mengikuti saya di facebook. Ikut senyap-senyap. Jadi silent reader.
Hingga bila pelan rumah mereka telah diluluskan, barulah dia menghubungi saya. Ajak bertemu.
Dari sebuah buku, lahirlah keyakinan beliau melantik kami menjadi kontraktor rumah kediaman mereka.
Sejak dari itu, buku KJ sudah jadi seperti Kad Bisnes bagi saya.
Ia lebih disukai dari sekeping kad bisnes biasa.
Malah lebih diyakini dari sebuah profil syarikat.
Dibeli, dibaca dan disimpan oleh pelanggan.
Cita-cita mahu menulis buku dahulu tercetus semasa kami diaudit oleh juri panel anugerah MCIEA.
Semasa melihat reaksi mereka terhadap jawapan yang diberikan melalui strategi, pengurusan risiko dan cerita jatuh bangun, terlintas di fikiran, alangkah bagusnya jika anak cucu kami dapat membaca pengalaman mahal ini. Bolehlah dijadikan teladan dalam kehidupan mereka.
Cabaran waktu itu adalah, bagaimana cara untuk hubungi penerbit buku. Apakah langkah dan peraturan yang perlu dipatuhi untuk mereka terbitkan buku saya nanti.
Maklumlah, kita bukan dari industri penulisan. Memang tidak tahu cara-caranya.
Impian mahu bukukan pengalaman semakin membuak apabila terpilih menerima anugerah tersebut.
Saya mulakan dengan menulis cerita. Dan ia terperap dalam laptop begitu sahaja.
Satu hari, seorang sahabat baik mengajak temaninya ke Johor Bharu. Mahu hadiri Bengkel Penulisan katanya.
Saya pun daftar juga jadi peserta.
Manalah tahu, dalam bengkel ini, akan terjumpa jalan untuk berhubung dengan syarikat penerbitan.
Namun, Allah beri lebih dari itu.
Dalam bengkel tersebut saya ditemukan dengan Tuan Zamri Mohamad, pemudahcara bengkel dan seorang pengiat dalam industri penulisan.
Bengkel yang beliau anjurkan beri banyak jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran.
Rupanya untuk menulis buku, bukan sekadar buka komputer dan menaip begitu saja.
Ada teknik keluarkan idea-idea dalam kepala, corakkannya kepada cerita sedap yang orang mahu baca, dan jadikan ia satu manuskrip untuk direalisasikan menjadi sebuah buku.
Namun, manuskrip akan hanya tinggal manuskrip bila kita hanya berharap akan ada syarikat penerbitan mahu ambil manuskrip itu untuk dijadikan buku.
Dalam bengkel tersebut, saya belajar bagaimana semuanya boleh kita uruskan sendiri.
Semuanya disusun baik, hingga bukan sahaja satu, malah saya sudah berjaya terbitkan dua buah buku. Tanpa sebarang syarikat penerbitan.
Sekarang, dalam proses sedang hasilkan buku ketiga. Buku berbentuk cara, langkah-langkah dan bagaimana mahu jadi kontraktor berjaya.

Buku Kontraktor Jalanan di tangan penulis terkenal Laskar Pelangi, Andrea Hirata.
Kini menulis buku bukan sahaja untuk saya berkongsi apa saya tahu. Ia boleh beritahu pembaca, siapa diri kita.
Selain jadi rujukan warisan. Ia juga boleh jadi kad bisnes yang berkesan.
Terutama dihadapan kulit buku ada tertera nama kita sebagai penulisnya.
Menulis buku juga adalah satu khazanah mahal yang bakal kita tinggalkan untuk bangsa dan negara.
Jika ia ada kandungan yang boleh ingatkan pembaca pada Allah, ia juga mampu menjadi saham kampung akhirat kita.
Seronok ada buku ni.
Saya memang galakkan semua sahabat usahawan menulis dan terbitkan buku sendiri.
Tulislah, selagi nyawa dikandung badan.
Artikel Asal