Membeli Rumah Siap Diubahsuai

“Betul ke kak?”

“Betullllll”

“Ala, rugilah saya beli rumah tu? Ingat ke dah siap renovate besar, dah jimat dah tak payah renovate lagi.”

Sahabat saya membeli sebuah rumah teres lot tepi yang telah siap diubahsuai 10 tahun dahulu. Kini setelah anak-anaknya membesar, beliau bercadang membuat ubahsuai yang baharu memandangkan reka bentuk pengubahsuaian lama agak ketinggalan desainnya dan anak-anaknya perlukan ruang tidur yang lebih luas.

Dahulu, saya juga selalu fikir begitu. Beli rumah yang sudah siap diubahsuai pemilik rumah lama adalah satu bonus tambahan.

Rupanya, ia adalah satu malapetaka sekiranya rumah yang diubahsuai itu tiada file kebenaran mengubahsuai dari Majlis.

Ini kerana, sekiranya Majlis merancang untuk membuat pemutihan di kawasan tersebut, mana-mana rumah di dapati mengubahsuai struktur asal rekabentuk rumah, boleh dikenakan kompaun dan diarahkan dirobohkan struktur tersebut pada kos tuan rumah.

Di sesetengah kawasan tadbir Majlis, sekiranya, tuan rumah masih mahu mengekalkan pengubahsuaian itu, maka mereka perlu membayar permit tahunan selagi mana struktur itu dikekalkan.

“Tapi, sudah 10 tahun saya beli rumah tersebut, takde pun Majlis datang ganggu kami. Jiran sebelah menyebelah pun ramai extend rumah sampai ke pagar, tutup terus sampai atas. Kiranya jiran yang tinggal sebelah kiri, dah tak nampak dah rumah jiran yang tinggal sebelah kanan.”

Memang banyak Majlis tidak mempunyai cukup penguatkuasa untuk menjalankan rondaan. Lagipun kadang-kadang dari sudut sosial sekiranya penguatkuasa ingin menguatkuasakan sesuatu peraturan, pasti munculnya ‘hero’ yang menangguk di air keruh dan mengatakan penguatkuasa ini zalim dan sebagainya.

Silap-silap akan dijadikan isu politik pula.

Tapi,….Tapi tunggulah bila pemilik rumah baharu, seperti sahabat ini, mahu melakukan pengubahsuaian baharu ke atas pengubahsuaian lama. Pasti akan ada masalah apabila permohonan kebenaran ubahsuai akan ada masalah.

Ini kerana, apabila permohonan kelulusan diajukan kepada pihak Majlis, perlu disertakan gambar keadaan rumah sedia ada. Dan pastilah komitee Majlis akan tahu pengubahsuaian sedia ada tidak mendapat kebenaran sebelum ini. Maka sukarlah kebenaran itu diluluskan.

“So, betulah pelukis pelan tu suruh saya robohkan dahulu ubahsuai lama ni?” tanya sahabat ini nak dapatkan kepastian.

“Betul. Bila sudah dirobohkan semula, baharulah submission ke Majlis untuk kerja-kerja pengubahsuaian dibenarkan.”

“Kalau macam tu, baik tak payah buat submission. Curi-curi renovate je. Bukan Majlis round pun.” keluh sahabat penuh kekesalan.

Risiko ubahsuai tanpa kelulusan Majlis adalah apabila penguatkuasa turun padang dan keluarkan kompaun siap pakej diarah robohkan semula.’Curi-curi renovate’, sekiranya tiada siapa buat aduan, tiadalah kerugian. Cuma sekarang ini ramai jiran tetangga celik peraturan dan juga tahu hak mereka sebagai jiran.

Jangan terperanjat sekiranya selama ini tak pernah nampak pengutkuasa datang ke tempat kita, tiba-tiba baru letak roro bin, iaitu tong sampah empat segi yang besar tu, tiba-tiba penguatkuasa pun datang beri salam.

Kata penguatkuasa, “ada jiran buat aduan.”

Tambah lagi, “boleh tengok permit ubahsuai?”

Peraturan bukanlah dibuat untuk menyusahkan kita, tetapi untuk menjaga keharmonian masyarakat sekeliling juga.

Sebab itulah kita akan berjumpa kontraktor yang menolak tawaran kerja ubahsuai tidak ikut peraturan, walaupun umpama mereka menolak rezeki hadapan mata.

Ini kerana mereka tidak mahu ‘menganiaya’ pemilik rumah dengan melakukan sesuatu yang memberi kesan buruk pada pemilik rumah itu di masa akan datang.

🖋

Mahanom Mohammad

(Visited 150 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published.