Secangkir Kopi

Kontraktor Kota Janji Segala Janji

“Perniagaan kami mencatit rugi. Kami tersilap kira. Maaf. Kami tak mampu buat apa-apa.”

Dahulu, peluang perniagaan tidak banyak. Tapi peluang pekerjaan tinggi.

Bila kami pergi temuduga, kami pastikan gaji yang ditawarkan sekurangnya mampu menanggung kos sara hidup. Sebelum letak angka gaji, kami ambil calculator. Tekan tekan angka berapa perlu sebulan untuk makan, tempat tinggal, kenderaan, dan beri mak abah. Ya, priority dulu.

Kemudian tekan tekan lagi. Tambah beli pakaian, liburan, rawatan kecantikan, perfume, make up bagi yang perempuan. Yang lelaki mungkin nak tambah tukar rim kereta, aksesori kereta, kumpul duit nak kahwin.

Begitulah.

Benda ni tidak diajar di sekolah mahupun universiti. Kita tahu sendiri. Kita letak tanggagaji berdasarkan kos hidup kita.

Sejak sepuluh tahun lalu, keadaan jadi berbeza. Peluang pekerjaan semakin sedikit. Namun peluang berniaga semakin besar.

Maka ramai anak muda mula ceburkan diri dalam dunia usahawan. Tanpa fikir kos operasi. Tanpa fikir setiap perniagaan itu ada kos sara hidup juga. Tanpa fikir setiap janji yang diberi itu berat tanggungjawabnya.

Saya perhati sahaja dari dahulu.

Bila ramai nak menceburkan diri dalam berniaga, benda pertama yang diajar adalah mesti tahu seni menjual. Yelah, jika tak menjual, bagaimana wang nak masuk pulakan.

Kemudian, lahirlah rasa keperluan buat marketing.

Maka pada satu tahap, menggilalah anak muda belajar buat marketing. Viral marketing. Permisssion marketing. Digital marketing.

Macam macam jenis nama marketing keluar.

Lahir juga satu ajaran untuk self declare. Declare dan beritahu dunia diri itu sifu, diri itu pakar, diri itu mahu membantu.

Dalam keghairahan membuat marketing gila gila, mereka masih belum benar diajar apa itu tanggungjawab sebenar usahawan.

Iaitu mengkotakan janji.

Janji mahu beri produk berkualiti.

Maka tempahan diterima saja tanpa fikir kapasiti operasi.

Akhirnya kualiti lari.

Barang rosak diberi juga pada pelanggan.

Tanpa fikir tanggungjawab sebenar adalah mengkotakan janji memberi produk sebaik kualiti seperti yang dijanjikan.

Janji mahu beri pulangan pelaburan tinggi.

Maka wang diambil saja tanpa fikir risiko pelaburan. Akhirnya pelaburan jatuh. Kerugian diletakkan 100% pada bahu pelanggan.

Tanpa fikir tanggungjawab sebenar adalah mengkotakan janji memberi pulangan yang tinggi.

Begitu juga apa yang berlaku dalam industri binaan.

Janji mahu bina rumah selesa. Maka tawaran harga dibuat tanpa fikir kos kompetensi. Akhirnya rumah tidak dapat dibina.

Terbengkalai begitu sahaja.

Tanpa fikir tanggungjawab sebenar adalah mengkotakan janji membina rumah sebaik kualiti seperti yang dijanjikan.

Bila duduk dengan sahabat sahabat yang dah lebih sepuluh tahun berniaga, kami bincang perkara yang sama.

Kenapa usahawan newbie ghairah belajar sales dan marketing tanpa ambil kira kos operasi dahulu?

Tanpa benar-benar hadam tanggungjawab yang terpikul dibahu. Janji janji yang ditabur yang perlu dijawab di padang masyar nanti.

Akhirnya bila marketing menjadi, sales meninggi, operasi gagal dari sudut kapasiti.

Dan semua ini mencatit kos tinggi dalam operasi.

Sudahnya? Perniagaan mencatit rugi.

Bila rugi, barang tak mampu nak deliver. Pulangan pelaburan tergantung begitu sahaja. Rumah terbengkalai menyakitkan mata.

Dan, dengan mudah mereka berkata.

“Perniagaan kami mencatit rugi. Kami tersilap kira. Maaf. Kami tak mampu buat apa-apa.”

Basuh tangan dan jalan begitu saja.

Tanggungjawab usahawan besar.

Bukan sekadar buat marketing gila gila. Disebut di sini sana. Gelar diri pakar dan sifu. Ambil duit pelanggan dan kemudian tersedar tak cukup nak cover duit operasi.

Tidak.

Tanggungjawab usahawan itu adalah mengkotakan janjinya.

Bila rugi, tanggunglah kebodohan cuai nak tekan calculator, tak kira kos sara operasi, tak cakna pasal risiko, tak buat SWOT dan sebagainya.

Janji tetap perlu dikotakan.

Bukan bila rugi, cuci tangan dan sekadar berkata pada pelanggan, “tolong faham ya, bisnes saya rugi. Saya tak dapat beri apa yang saya janji.”

Dan jalan begitu sahaja.

Itu aniaya pelanggan namanya.

Jangan begitu wahai usahawan.

Jangan mudah mencuci tangan.

Kesilapan kita, adalah tanggungjawab kita membetulkannya. Bukan terus membebani pelanggan yang telah meletakkan sepenuh kepercayaan semasa mahu membeli dari kita.

Bila mahu mulakan perniagaan, belajar menguruskan kos dahulu.

Itu yang paling perlu.

(Visited 173 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published.