Nak Jadi Kontraktor Perumahan

Semalam, seorang anak muda berdiri di hujung tapak, dengan topi keselamatan masih baru. Kasut yang dipakainya masih bersih.

“Puan… saya nak jadi kontraktor perumahan. Apa sebenarnya yang saya WAJIB ada untuk bermula?”

Saya pandang dia lama. Teringat zaman mula dulu. Masa itu tiada siapa tunjuk satu persatu.
Belajar dari kesilapan sendiri. Bayar dengan air mata dan tiada gaji.

Saya jawab perlahan, “Nak bina rumah orang jangan mula dengan angan-angan besar. Tapi mula dengan asas yang betul.


Pertama, mesti ada alatan bina yang asas. Mesti ada pita ukur. Dalam pembinaan, beza beberapa milimeter boleh jadi punca retak yang orang nampak bertahun-tahun. Pita ukur bukan sekadar mengukur untuk dapatkan luas tapi juga sebagai amanah tuan rumah untuk kita bina mengikut saiz yang telah dipersetujui.

Jangan lihat ukuran sekadar angka, tapi lihat ia sebagai amanah untuk laksanakan kerja mengikut saiz yang betul


Kedua, mesti ada timbang air. Dinding boleh nampak lurus di mata, tapi tanpa timbang air, ia akan menjadi sangkaan dan agakan.


Ketiga, mesti ada helmet dan kasut keselamatan.

Di Malaysia, ini bukan pilihan. Ini tanggungjawab di bawah undang-undang.

Tapi lebih dari itu — ia tanda kita faham bahawa setiap pekerja di tapak itu ada keluarga yang menunggu dia pulang.


Keempat, mesti ada site diary. Ramai anggap ia perkara remeh. Padahal inilah rujukan bila ada pertikaian.

Hujan lebat. Cuaca tak menentu. Material lambat sampai. Arahan berubah. – semua ini bila tak dicatat, tiada bukti kita telah usahakan lakukan yang terbaik.


Kelima, kau mesti ada lukisan yang diluluskan.

Jangan bina ikut WhatsApp.
Jangan bina ikut “agak-agak biasa buat macam ni”.

Rumah bukan eksperimen.


Keenam, mesti ada kalkulator. Kontraktor yang tak tahu kira, akan mudah rugi. Margin projek rumah kecil tak besar. Silap kira konkrit satu lori, untung boleh lari.


Ketujuh, mesti ada marker tapak. Garis yang jelas, kerja jadi kemas.

Tanpa garis, orang kerja ikut mata. Dan mata manusia selalu menipu bila penat.


Kelapan, mesti ada alat semak aras (water level atau auto level). Malaysia kan selalu hujan lebat.
Kalau aras silap, air bertakung. Bila air bertakung, pelanggan akan cari kontraktor semula.


Kesembilan, mesti ada telefon untuk dokumentasi. Ambil gambar sebelum dan selepas kerja.
Kerja tertanam dalam tanah atau balik dinding dan siling tak boleh dibuktikan tanpa bukti.

Hari ini, gambar itu lebih kuat dari kata-kata.


Dan yang kesepuluh, mesti ada disiplin. Ini bukan alat fizikal, tapi ini yang paling mahal. Tanpa disiplin:

  • Ukur jadi sambil lewa
  • Keselamatan jadi pilihan
  • Rekod jadi malas
  • Lukisan jadi abaian

Rumah tak runtuh sebab besi lemah. Tapi runtuh bila sikap tak berubah.

Saya habis bercakap.

Dia diam.

Kemudian dia tanya perlahan,
“Puan… jadi nak jadi kontraktor ni bukan sekadar ada modal?”

Saya senyum.

Modal boleh cari. Pekerja boleh ambil.

Tapi profesionalisme — itu kena bina dalam diri dulu.

Kerana rumah yang kita dirikan bukan sekadar struktur konkrit. Ia tempat orang membesarkan keluarga.
Tempat orang berlindung dari hujan. Tempat orang menyimpan kenangan.

Kalau hari ini ada yang mahu bermula, mulakan dengan asas.

Bangunan tinggi selalu bermula dari tanah yang dipadatkan.

Dan kontraktor yang hebat selalu bermula dengan tindakan.

Mahanom Mohammad

(Visited 11 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *