Kitaran perniagaan kontraktor adalah fasa-fasa yang perlu dilalui oleh sebuah pembinaan kontraktor sepanjang hayat operasinya.
Setiap fasa mempunyai cabaran dan peluang tersendiri, dari peringkat permulaan, pertumbuhan, pengembangan, hingga kematangan dan penurunan.
Semua syarikat pembinaan, dari kontraktor kecil hingga besar, melalui kitaran ini.
Pada berjaya dalam setiap peringkat kitaran, strategi dan pelan perniagaan perlu dibangunkan oleh pengasas dan pasukan pengurusan.
Kemudian pastikan pasukan kerja memainkan peranan mereka dalam melaksanakan pelan yang telah dirancang untuk memastikan kejayaan di setiap peringkat.
Peringkat Kitaran
Terdapat 5 peringkat kitaran dalam perniagaan kontraktor.
1. Peringkat Permulaan (Start-Up Phase)
Kitaran bermula sejurus perniagaan ditubuhkan. Pada waktu ini, strategi utama kontraktor adalah mendapatkan projek bagi memastikan perniagaan mempunyai pendapatan yang menguntungkan untuk menyara dirinya sendiri. Kontraktor akan bermula dengan projek kecil. Fokus utama adalah untuk kelangsungan hidup dengan cabaran seperti menguruskan modal dan melaksanakan kerja dengan cekap untuk mendapatkan bayaran.
2. Peringkat Pertumbuhan (Growth Phase)
Perniagaan mula berkembang, dengan projek yang lebih banyak dan lebih besar nilainya. Cabarannya akan lebih besar termasuk risiko kewangan sekiranya projek rugi, kerja ditolak sekiranya tidak mencapai kualiti dan aliran tunai yang mencukupi untuk menampung pertumbuhan.
3. Peringkat Pengembangan dan Penstabilan (Expansion and Stabilization Phase)
Pada peringkat ini, kebiasaanya kontraktor sudah mempunyai pelanggan tetap dan projek besar. Kontrak pula adalah secara jangka panjang dengan tempoh 2 hingga 5 tahun. Cabaran disini adalah menguruskan pertumbuhan terkawal dan mengelakkan pengembangan berlebihan yang boleh mengganggu aliran tunai dan memberi kesan kewangan negatif.
4. Peringkat Kematangan (Maturity Phase)
Kontraktor sudah mencapai tahap kematangan mempunyai pendapatan stabil dan struktur pengurusan yang kuat. Cabaran di sini termasuk menyesuaikan diri dengan perubahan industri dan teknologi serta merancang kelangsungan syarikat. Alat Analisa PESTEL akan sentiasa menjadi rujukan dalam menghadapi perubahan yang berlaku sepanjang menguruskan perniagaan.
5. Peringkat Penurunan atau Peralihan (Decline or Transition Phase)
Kontraktor mungkin menghadapi penurunan prestasi disebabkan perubahan pasaran, kesilapan pengurusan atau persaingan sengit. Pada peringkat ini, kontraktor perlu memilih antara pemulihan, penstrukturan semula, atau peralihan kepada pengurusan baru.
MEMAHAMI KITARAN
Memahami kitaran ini penting bagi kontraktor untuk mengurus risiko, menangani pertumbuhan, dan memastikan syarikat kekal relevan dalam pasaran yang kompetitif. Ia juga membantu perancangan strategik dan pengurusan kewangan.
Pada peringkat ke 5, sekiranya kontraktor membiarkan sahaja penurunan berlaku, maka perniagaan kontraktor berhadapan dengan risiko terpaksa ditutup.
Sekiranya kontraktor melakukan intervasi iaitu melakukan sesuatu untuk menaikkan semula perniagaan yang jatuh itu, maka perniagaan kontraktor akan memulakan semula Peringkat Pertumbuhan dalam perniagaan mereka dan terus memajukkan semula hingga mencapai kejayaan yang diidamkan.
KESIMPULAN
Kitaran hidup syarikat pembinaan ini menggambarkan perjalanan dari peringkat awal hingga kematangan, dengan fokus pada pengurusan risiko, adaptasi dan tindakan strategik untuk mengekalkan daya saing dan relevansi dalam industri pembinaan.
Perniagaan berisiko ditutup sekiranya tiada tindakan dibuat pada peringkat penurunan, tetapi boleh berkembang semula apabila kontraktor mengambil langkah segera dengan membuat pembaharuan yang sewajarnya.
Bagaimana kontraktor dapat mengurus risiko kewangan ketika perniagaan berkembang? Bagaimana pengalaman orang lama boleh dijadikan panduan untuk mengelakkan kesilapan yang pernah mereka lakukan?
www.mahanom.com