Kecewa Itu Hanya Rasa

Bacaan Asal

Kecewa, putus asa, tidak tenang dan keluh kesah itu adalah satu rasa.

Rasa itu terbit apabila tidak dapat apa yang diinginkan. Mungkin kita dambakan kejayaan, tetapi yang datang hanyalah kegagalan.

Kita marah, kita kecewa, kita rasa putus asa.

Kita mencari-cari punca kegagalan. Ada yang datang dari diri, ada yang datang dari faktor luaran.

Punca-punca kegagalan ada pelbagai sebab. Ia bergantung kepada cara mata hati kita memandangnya.

Jika kita memandang dari mati hati positif, ia jadi satu munasabah diri. Lihat apa yang kurang, jadikan ia satu hikmah untuk kita tambah baik jadi lebih bagus untuk masa hadapan.

Boleh jadi ada kemahiran kita yang belum sempurna lagi. Perlu lagi berlatih dan belajar.

Boleh jadi ada kurang cerdik kita yang ketara. Perlu tambah baik supaya ia lebih sempurna.

Kawan-kawan, apa jua perkara, bila kita pandang dari mata hati yang negatif, ia boleh menjurus kepada rasa mahu letakkan punca kesalahan kepada orang lain.

Maka lahirlah rasa dendam, rasa hasad, buruk sangka, tamak, gila dunia, jadi pemarah, jadi penakut, dan segala rasa yang dipendam dalam jiwa.

Ini semua akan menjerumus kepada satu perkara nyata : Sakit Hati.

Sakit Hati yang lama jika tidak diubat akan menjadikan hati kita lebih parah. Akhirnya sakit hati ini perlahan-lahan bertukar menjadi Hati Yang Sakit.

Hati kita ni kawan-kawan, ada dua pengertian. Zahir dan batin.

Zahirnya adalah sepotong daging. Fizikalnya berbentuk lonjong memanjang. Ia seketul darah yang mengandungi sel darah merah dan zat-zat besi. Sel dan zat-zat ini datangnya dari makanan yang kita makan.

Jika kita pergi deep lagi, punca makanan menentukan bagaimana hati dibangun dan diuruskan.

Punca atau sumber makanan pula terbahagi pada tiga. Pertama yang diyakini sumbernya halal. Kedua pula dari sumber yang nyata haram. Dan yang ketiga kita sebut syubhah iaitu tidak jelas sumbernya halal atau haram.

Batin hati pula adalah tempat terbit segala perasaan. Perasaan pula akan lahir dari ‘nasihat nafsu’.

Pernah dengarkan ‘Hati itu umpama raja, dan nafsu itu umpama penasihatnya’.

Hati ini sangat sensitif kepada apa kita kata, dengar, lihat, bau dan rasa. Hati akan bergabung dengan nafsu untuk buat keputusan dalam melahirkan perasaan. Ia boleh jadi perasaan baik atau sebaliknya.

Hati melahirkan rasa senang bila dipuji. Rasa menderita bila dikeji.

Ada hati rasa megah bila berjaya. Kemudian hati yang sama rasa hina bila gagal pula.

Hati juga boleh lahirkan rasa angkuh dan sombong bila ada kelebihan, samada dari segi kuasa, paras rupa, kebijaksanaan, harta dan anak-anak.

Hati juga boleh lahirkan rasa marah bila dicuit atau dikata. Rasa dengki dan hasad bila orang lain lebih darinya. Rasa dendam bila teraniaya.

Hati rasa berkeluh kesah bila susah. Rasa jijik bila melihat benda kotor. Rasa gerun bila berhadapan dengan sesuatu yang menakutkan.

Hati juga boleh merasa malu bila dipuji. Boleh rasa gembira lihat kejayaan orang lain. Boleh rasa aman dalam keributan. Boleh rasa tenang dalam hadapi gelombang. Hati juga mampu terbit rasa terhutang budi bila ditolong.

Hasil dari apa yang dirasa akan membentuk tindakan kita.

Jika negatif, lama kelamaan akan merosakkan diri sendiri. Muka boleh cepat berkedut kerana selalu berkerut.

Jika positif, ia menyuburkan kesyukuran. Muka nampak berseri kerana sentiasa dalam mood happy.

Hati yang happy, pancaran senyumannya boleh terserlah di sinar mata.

Habis tu, bagaimana nak buang rasa kecewa, keluh kesah dan gundah gelana?

Buanglah dahulu perkara-perkara yang membentuk rasa negatif.

Bila melihat, mata zahir lihatlah benda-benda baik. Kalihkan mata zahir bila terlihat benda maksiat. Bila mata hati melihat, lihatlah dari mata lebah, mencari benda baik disebalik setiap perkara. Bila hujan ribut, lihatlah bakal munculnya cantik pelangi.

Bila mendengar, telinga zahir dengarlah benda-benda baik. Alihkan telinga zahir bila terdengar umpat dan caci nista. Bila hati memdengar, dengarlah benda baik disebalik setiap perkara.

Bila bertutur, tuturlah benda yang baik-baik. Latih mulut untuk tidak menipu, memaki, mencarut, bercakap perkara yang sia-sia. Hiasi pertuturan dengan hikmah baik, walaupun dalam keadaan berjenaka.

Latih anggota zahir dahulu.

Yang batin akan perlahan-lahan menyusul kemudian.

Bila kita berjaya membangunkan hati, segala cabaran, ujian, kegagalan, keperitan, kekecewaan dan kesusahan akan lebih mudah diuruskan.

Dapat sesuatu?

(Visited 137 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *