Bagi yang ingin memasuki dunia kontraktor tanpa sebarang pengalaman kerja, habis belajar terus nak jadi kontraktor, saya nak kongsikan lima perkara utama, wajib kena ada.
1. Ilmu teknikal melaksanakan kerja
Pengetahuan teknikal ini kita boleh belajar di kursus-kursus yang ditawarkan kerajaan seperti di Giat Mara, ABM atau Pusat Latihan Bertauliah Kontraktor CIDB. Ilmu teori sahaja tak cukup. Perlu duduk di tapak kerja dan bangunkan skilnya sekali.
Kotorkan tangan, baru dapat feelnya.
2. Ilmu mendapatkan kerja
Kontraktor perlu tahu bagaimana membina jenama atau reputasi yang baik di pasaran. Apabila ada jenama dan reputasi yang baik, pelanggan akan mudah membina kepercayaan untuk melantik kita menjadi kontraktor mereka.
Selain dari reputasi yang baik, kontraktor juga perlu tahu cara-cara membuat marketing yang sesuai dengan sasaran pelanggan mereka. Teknik closing juga perlu ada untuk mendapatkan pelanggan bersetuju dengan terma dan syarat yang kita tawarkan.
PO, SST, LA, Indent atau persetujuan pelanggan lantik kita sebagai kontraktor bukanlah jaminan itu sales kita. Ada yang dapat tawaran kerja RM200k, tapi setelah keluar kos RM120k untuk siapkan projek, akhirnya hanya dibayar RM100k sahaja.
3. Ilmu penggiraan harga
Ilmu costing amat penting kerana silap beri harga akan memberi risiko rugi. Lebih teruk lagi, bila disaman pelanggan kerana tidak mampu selesaikan projek dengan harga yang dijanjikan.
Kontraktor perlu tahu mengukur kerja, kaedah kerja yang akan digunakan, sumber yang akan digunakan, kos-kos sumber tersebut serta kos luar jangka. Untuk memastikan projek tidak rugi, kontraktor perlu tahu nilai margin keuntungan yang perlu ditambah pada kos tersebut supaya harga yang diberikan kepada pelanggan, berbaloi dan menguntungkan.
4. Ilmu menguruskan projek
Kontrak kerja selalunya menggariskan 3 perkara utama iaitu nilai, tempoh dan kualiti.
Namun sepanjang projek diuruskan di tapak, akan lahir pelbagai isu di luar jangka yang mungkin boleh mengakibatkan 3 perkara di atas sukar untuk dipenuhi.
Isu paling banyak yang perlu dihadapi kontraktor adalah isu kesilapan reka bentuk atau kaedah kerja yang menyebabkan akan ada perubahan kerja sama ada kerja ditambah atau dikurangkan.
Apabila ada perubahan, ia juga memberi kesan pada kos asal dan tempoh yang telah dipersetujui.
Akhirnya bila silap urus, kontraktor perlu membayar ganti rugi lewat tempoh atau bayaran ditolak dari tuntutan kerana kerja tidak menepati apa yang pelanggan mahu.
5. Ilmu menguruskan pekerja
Ada beberapa jenis pekerja yang kontraktor perlu ada. Dari level pekerja tidak mahir, kurang mahir, mempunyai kemahiran untuk kerja tertentu, menyelia kerja di tapak serta menguruskan kerja tersebut.
Pembahagian tugas perlulah kepada jenis kemahiran yang ada.
Menguruskan manusia tidak sama seperti menguruskan perkakas dan peralatan kerja.
Perlu ada ilmu menguruskan pekerja dari segi emosi dan bakat supaya kita dapat hasil kerja setimpal dengan jumlah upah yang dibayar kepada mereka.
6. Ilmu mendapatkan modal tunai
Projek hanya boleh bermula apabila kontraktor ada peralatan kerja. Nak mengecat pun kena beli berus. Nak mengukur pun kena beli tape. Nak pasang soket pun kena ada test pen. Nak buat kerja maintenance pun kena ada toolbox. Ini untuk kerja kecil dua tiga ratus.
Kalau kena buat rumah dua tiga ratus ribu, lagi banyak barang besar besar kena ada. Ini belum cerita peralatan ni rosak nak kena repair atau beli baru.
Tiada modal hidup boleh jadi haru.
Sekiranya kita total sub pada pekerja yang punya peralatan sendiripun, kurang kurang kita kena ada modal untuk bayar gaji mereka dahulu.
Kontraktor perlu tahu bagaimanakah caranya mendapatkan modal awal bagi memulakan kerja.
7. Ilmu Komunikasi
Hubungan baik perlu dijaga terutama dengan mereka yang berkait rapat dengan aktiviti projek kita seperti pekerja dan sub-kontraktor dan pembekal. Ini termasuklah pihak ketiga seperti konsultan, arkitek, jurutera, agensi kerajaan dan seumpamanya.
Paling penting jaga hubungan baik dengan pelanggan. Seni menjaga hubungan baik ini adalah seni komunikasi yang perlu dikuasai bagi memastikan semua perbincangan berjalan lancar dan mencapai satu persetujuan menang menang untuk semua pihak.
Ambil tujuh ilmu ini dulu.
Wow, susahnya nak jadi kontraktor jika kena ada semua ini. Tak susah sebenarnya. Cuma perlu sabar dan bermula perlahan sesuai dengan kapasiti dan kemampuan kita ada.
Bisnes kontraktor ni bukan tahun ketiga dah boleh hidup mewah.
Ada, betul ada, saya dah jumpa.
Lepas tu jatuh terlingkup sebab tak fikir masa depan dan perjalanan yang masih panjang. Wang segebuk pelanggan bayar, digunakan untuk deposit kereta.
Masuk tahun ketiga kereta kena tarik semula sebab tak mampu nak bayar. Nama dah terseret dalam CTOS dan CCRIS. Silap silap sebab nak penuhi nafsu jiwa muda, masa muda juga dah masuk senarai bankrupsi.
Bisnes kontraktor ni, struktur kena kukuhkan dulu. Bermula dengan kerja kecil dulu, sesuai dengan apa yang ada ditangan. Kemudian perlahan lahan upgrade ilmu dan peralatan kerja. Besarkan networking dan jaga pelanggan yang melantik kita.
Biar perlahan, janji sampai.
Mahanom Mohammad