Hujan Berhenti, Muncul Pelangi

Setiap Langkah Kejayaan Bermula Dengan Langkah Pertama

1. Semasa saya baru melangkah masuk ke dalam industri binaan dahulu, ianya hanya untuk penuhi tuntutan bekerja. Objektif ketika itu hanya mahu ada sejumlah wang diakhir bulan untuk tanggungan diri sendiri.

2. Tumpuan pula lebih kepada untuk bangunkan karier sendiri sebagai KPI mahu tahu setinggi mana kehebatan yang ada.

3. Ketika melangkah masuk ke dunia usahawan pula, objektifnya sudah berbeza. Ia bukan lagi mengenai gaji sendiri, tetapi tanggungjawab untuk membayar gaji staf pula.

4.Tumpuan diberikan untuk membesarkan Emartech agar staf yang bermula sebagai juruservis pun, satu hari akan menjadi pengurus projek pula.

5. Semasa saya berazam untuk memberi semula kepada industri, objektifnya semakin jauh berbeza.

6. Ia bukan lagi mengenai diri atau syarikat sendiri, tetapi bagaimana kemampuan industri sedia ada dapat mengembangkan potensi pemain industri yang lain pula.

7. Semakin saya melangkah jauh, semakin ternampak pelbagai perkara boleh dibangunkan. Asal saja pemain industri sebenar diberikan peluang menonjolkan bakat, kreativiti dan dayausaha mereka.

8. Dengan peluang dan ruang sedia ada, bersama suntikan inspirasi dan motivasi, serta sokongan mantap dari industri sendiri, pemain industri mampu menjadi pembina negara yang berkualiti, berdaya saing, berdaya tahan dan berdaya maju seiring dengan perubahan revolusi teknologi masa kini.

9. Setiap apa yang kita lakukan, bermula dengan kesedaran pada diri sendiri. Dengan kesedaran dan impian yang jelas, barulah boleh melangkah dengan teratur mengikut gerak kerja yang telah disusun.

10. Dalam perjalanan, jangan sesekali berhenti apabila ada cabaran atau halangan. Hadapi sahaja dan teruskan melangkah hingga sampai ke destinasi.

11. Hari ini apabila menoleh semula langkah pertama yang dibuat dahulu, saya semakin faham kenapa hadirnya ujian dan rahmat sepanjang saya melangkah hingga sampai ketahap ini.

12. Semua ujian dan rahmat adalah hikmah yang diberikan untuk menyediakan kita berada ditahap lebih tinggi lagi.

13. Tiada yang lebih sempurna dari apa yang Allah berikan. Kita mahu ‘itu’, tapi Dia beri ‘ini’ kerana yang ‘ini’ adalah lebih baik disisiNya.

14. Cabaran dan halangan tetap ada setiap kali kita buat langkahan baru dalam hidup. Selagi kita bersabar dengan ujian dan bersyukur dengan hikmah, insyaallah perjalanan kerja akan membuahkan hasil yang lumayan.

15. Jangan pernah berhenti apabila melangkah. Jangan pernah sesali apabila takdir tidak seindah yang diminta. Jangan tunduk pada nafsu amarah dan kecewa.

Setiap kejayaan bermula dengan langkah pertama. Tidak apa jika ia hanya sekadar langkah kecil sahaja.

Teruskan melangkah walau ribut taufan melanda diri.

Pelangi indah pun hanya muncul setelah hujan lebat berhenti.

(Visited 127 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *