Saya tertarik dengan soalan ini.
‘Bincangkan hala tuju kontraktor kecil G1 dan plan rangka kerja yang panjang supaya kami boleh mendapat menampung pembelajaran kos harian.’
Kontraktor adalah satu bidang perniagaan. Bukan satu bidang kebajikan. Fullstop.
[[ Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan kebajikan, segera berdaftar di bawah Skim Kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pusat Zakat. Mereka ada sistem yang boleh menilai sama ada kita layak dibantu]].
Kontraktor G1 juga bukan satu bidang untuk manupulasi perolehan kerja-kerja kerajaan.
Lesen G1 yang mereka ada bukan untuk disewa.
Lesen G1 juga bukan untuk dijadikan kartel bagi membantu mengepung harga dalam sebutharga.
Lesen G1 bukan digunakan untuk mendapat kelulusan segera menyertai tender besar dan membantu mengepung harga dalam tender.
Lesen G1 juga bukan untuk disalahguna sebagai proksei bagi membesarkan peluang mendapat lebih banyak kerja melalui Kerja Undi yang diperuntukan kerajaan untuk membantu Kontraktor G1 yang benar-benar memerlukan.
Dalam bidang perniagaan, kontraktor kecil, atau peniaga kecil ini perlulah sekurang-kurangnya tahu serba sedikit ilmu berniaga.
Hala Tuju Kontraktor G1
Ada tiga poin utama yang hendak perlu Kontraktor G1 tahu:
A. Pendapatan Perniagaan sebagai kontraktor kecil.
B. Pelan Jangka Panjang
C. Pelan Perniagaan
A. Pendapatan Perniagaan
Sebagai peniaga kecil, kita kena ada 3 jenis pendapatan.
1- Pendapatan Harian
Ini untuk menampung belanja kecil harian seperti makan minum, rawatan sakit, pakai, duit dapur, petrol, kecemasan dll.
Pendapatan harian boleh didapati dari kerja-kerja kecil yang dibuat dalam jangka pendek seperti kerja-kerja pembaikan paip tersumbat, pintu atau pagar rosak, cat, baiki bumbung yang memberi kita pulangan bayaran tunai.
Kita tidak perlu bekerja setiap hari. Hanya memadai 3 atau 4 hari seminggu.
Pada hari-hari lain kita hanya melakukan kerja-kerja marketing seperti membuat hebahan mengenai perniagaan kita di media sosial. Atau dalam komuniti kejiranan seperti ketika kita hadir kenduri kemasyarakatan atau berjemaah di masjid.
Kita juga boleh melakukan kerja-kerja membina hubungan baik dengan pelanggan lama atau bernetworking dengan komuniti lain seperti PIBG, ahli kelab kebajikan, ahli perpustakaan dan lain-lain supaya semakin ramai orang tahu kewujudan perkhidmatan kita.
Apabila kita berjumpa kawan-kawan di kedai mamak, kita cerita mengenai perkhidmatan kita dalam selitan kita bincangkan isu masyarakat, isu politik dan isu-isu lain.
2. Pendapatan Bulanan
Ini untuk menampung belanja tetap seperti bayar sewa atau pinjaman rumah, kereta, bil utiliti, dan seumpamanya.
Pendapatan ini boleh didapati dari kerja jangka panjang seperti membina rumah selama 1 hingga 2 tahun atau mengubahsuai rumah selama 3 hingga 6 bulan.
Ia juga boleh didapati dengan cara mendapatkan kontrak selenggara jangka panjang seperti kontrak pembersihan, pemotongan pokok, kerja pembaikan pejabat, kediaman, hotel, bangunan ofis, lebuhraya, rumah-rumah di taman perumahan atau di bangunan stratra seperti apartmen dan pangsapuri yang lain.
Kita tidak perlu bekerja setiap bulan, memadai contohnya bagi setiap 6 bulan itu – kita hanya marketing selama 1 bulan, dan melakukan kerja ubahsuai 3-4 bulan. Baki satu bulan itu bolehlah berehat. – Jika mahu berehat.
3 – Pendapatan Tahunan
Ini adalah untuk menampung belanja tahunan seperti membayar roadtax, insuran, belanja raya, keraian, simpanan, percutian dll.
Ia adalah pendapatan bonus selain dari 1 dan 2.
Ini boleh didapati sekiranya tempoh yang kita gunakan untuk tidak bekerja dan berehat itu, digunakan untuk marketing, meningkatkan kemahiran diri dengan dapatkan ilmu kemahiran atau memantapkan model perniagaan dan platform networking sedia ada.
Bagi kontraktor G1, kerja bonus ini boleh didapati dari Kerja-kerja Undi. Maka mindset kerja undi dijadikan satu pendapatan tetap untuk menampung kehidupan harian adalah sangat salah dan perlu diperbetulkan.
B. Pelan Jangka Panjang
Untuk jangka panjang pula, kita perlu peka pada perubahan dan berubah seiring dengan perubahan.
Era sekarang adalah era media sosial, era digital dan era bekerja menggunakan teknologi Industri 4.0.
Maka kontraktor tidak kira kecil atau besar, perlu sedar perubahan perlu dilakukan agar perniagaan kita mampu bernafas dalam arus media sosial, menggunakan platform digital dan ada peningkatan kemahiran teknologi seperti data analitik, AI, IoT, 3D, sistem modular, smart home, dan seumpamanya.
Sekiranya selama ini kita asyiklah nak hadir kelas grooming, maka usahakan untuk hadir kelas media sosial marketing dan networking, kelas penulisan atau rakaman konten, kelas copywritting. Atau kursus berkait digital marketing dan forum yang berkisar dengan construction 4.0.
C. Pelan Perniagaan
Sekiranya kita tidak mampu bersaing, maka kita tingkatkan kemampuan dalam daya kolaborasi.
Berkolaborasi dengan pemain atau pelapis industri kerana kita ada beberapa kelebihan yang mereka sangat perlukan seperti pengalaman kerja di tapak, kemahiran sosial yang berbudi pekerti tinggi dan networking luas di kalangan pembekal dan perunding.
Cabaran Sebenar Kontraktor G1
Sebagai seorang kontraktor G1 sendiri, seikhlasnya pada saya cabaran kontraktor kecil bukanlah mendapat kerja, kerana kerja banyak di pasaran terbuka.
Punyalah banyak sehingga kontraktor warga asing tumbuh setiap hari mengambil kerja kerja yang melambak dipasaran yang ditawarkan oleh pemilik rumah melayu.
Kontraktor lama mempunyai skil sosial yang sangat bernilai tinggi dan skil ini mampu menawan hati pemilik rumah sebenarnya.
Walaupun kita menghadapi masalah sosial seperti perlu bersaing dengan warga asing, namun rata-rata kontraktor kecil tempatan menyatakan mereka sendiri tidak menang tangan kerana masih ada pemilik rumah di Malaysia yang menyedari betapa bahayanya mengupah kontraktor warga asing. Selain berdepan dengan tindakan dari Jabatan Imigresen, mereka juga berdepan dengan risiko kerja diarah dihentikan oleh CIDB kerana tidak melantik kontraktor berdaftar.
Cabaran terbesar Kontraktor G1 adalah mindset mereka yang masih terperangkap di takuk kelas f seperti 20 tahun yang lepas.
30 tahun yang lepas, kerajaan di bawah Dasar Ekonomi Baharu menyediakan pelbagai pelan seperti memperuntukan Kerja Undi – bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi tukang-tukang melayu dengan menjadikan kontraktor berdaftar Kelas F.
Kemudian pada tahun 2005 apabila kerajaan mengumumkan bajet besar untuk kontraktor kelas f melalui agihan kerja undi, satu kebocoran berlaku apabila ramai yang mahu merebut agihan ini hingga peningkatan pendaftaran kelas f menjadi terlalu tinggi tetapi hanya aktif dalam majlis kerja undi. Akhirnya pendaftaran kelas f ditutup.
Semenjak dari situ, ramai kontraktor kelas F hanya hidup berharap pada kerja undi sahaja. Ada yang mula melebarkan sayap mereka belajar bersaing dalam pasaran terbuka.
Kerja Undi sebagai menjaga kebajikan
Malangnya sehingga hari ini, setelah 20 tahun, masih ada sebilangan kontraktor kelas f yang telah ditukar kepada G1 ini, masih merasakan mereka wajib dibantu oleh kerajaan melalui agihan undi. Alasan yang diberikan antaranya adalah mereka tidak mampu bersaing, sedangkan kita semua tahu dalam perniagaan, kita wajib belajar cara-cara untuk bersaing.
Maka, selagi ada mindset kontraktor kelas f adalah kontraktor yang perlu dijaga kebajikan mereka, selagi itulah mereka akan hanya berharap pada kerja undi sahaja.
Kerja Undi sepatutnya diberikan kepada mereka yang betul-betul layak, seperti baru menjadi kontraktor dan memerlukan sokongan dari sudut kerja. Maka kerajaan boleh membantu mereka dalam satu tempoh awal seperti 2-3 tahun sahaja.
Setelah itu, kontraktor ini perlu diajar cara-cara meningkatkan persaingan dalam mendapatkan kerja-kerja yang ditawarkan secara terbuka.
Kerja Undi di Total Sub (dijual)
Malangnya juga, ada kontraktor kelas f yang mempunyai mindset, kerja undi adalah satu cara untuk mendapat untung segera atau untung atas angin dengan menjual atau total sub kerja-kerja tersebut. Apabila di total sub, tiada pemantauan dilakukan pada sub kontraktor ini, hingga akhirnya kualiti kerja tidak mencapai paras yang sepatutnya.
Alasan yang diberikan adalah tiada modal, sedangkan ada agensi kerajaan seperti MARA ada menyediakan kemudahan pinjaman melalui SPIKE. JKR juga ada menyediakan skim SKWAK.
Alasan yang lain juga adalah tiada skil dan kemahiran, sedangkan CIDB melalui ABM menyediakan pelbagai kursus kemahiran.
Ada juga alasan seperti tiada masa, tidak sihat, tidak mempunyai peralatan, jentera, dan lain-lain. Bagi mereka yang mempunyai alasan ini, kontraktor bukanlah bidang yang sesuai bagi mereka. Maka mereka perlulah mencari bidang lain seperti menjual nasi lemak, goreng pisang, grab, dan lain-lain untuk dijadikan perniagaan sebagai alatan mendapatkan perniagaan.
Kerja Undi bukan untuk dirompak oleh proksi lesen
Dalam industri Kelas G1, bukan satu rahsia lagi ramai yang mendaftar lebih dari 1 lesen.
Contohnya Ali, yang sudah mempunyai lesen, akan menyuruh ayah, ibu, isteri, suami, besan, ipar duia, jiran depan, belakang, kiri dan kanan sebagai proksinya untuk mendaftar lesen lain untuk digunakan oleh Ali bagi mendapatkan kerja-kerja undi ini.
Ada juga kes seperti Abu, yang bekerja tetap dengan satu jabatan kerajaan, tetapi oleh kerana ia tidak layak mendaftar lesen G1, maka disuruhnya orang lain yang mempunyai kelayakan, untuk mendaftar sebagai kontraktor G1 sebagai proksinya bertujuan untuk merompak kerja-kerja undi yang sepatutnya menjadi hak kepada kontraktor G1 yang tulin.
Menangani Cabaran Kontraktor G1
Kontraktor G1 yang masih terperangkap dengan stigma G1 perlu dibantu kerajaan perlu merubah mindset dengan segera.
Jadikan bidang kontraktor sebagai satu bidang yang dapat dijadikan jambatan untuk kita ke syurga dengan melakukan kerja penuh amanah. Bukan untuk dijual, dijadikan proksi, bersekonkong dengan kartel untuk mengepung harga, mengamalkan pelincir untuk mudahkan urusan – kerana selagi kita mengamalkan perkara yang salah, selagi itulah kita sukar mendapat rezeki yang berkah melekat lama – kerana tidak amanah pada kerja yang diberikan pada kita.
Jadikan bidang kontraktor sebagai satu bidang perniagaan yang dapat dijadikan platform untuk meningkatkan taraf kehidupan. Berniaga tidak mudah. Tetapi, biar kita peniaga kecil asal kita berminda besar.
Untuk berjaya dalam perniagaan kita perlu rajin berusaha, cekal, tabah, sabar dan tingkatkan kemahiran dan ilmu bisnes kontraktor. Ini penting supaya kita dapat duduk selesa dalam pasaran bagi mendapatkan pelanggan tanpa henti-henti yang memberi kita pendapatan harian, bulanan dan bonus tahunan.
Kontraktor perlu disedarkan untuk melakukan perubahan atau anjakan paradigma. Apa jua idea-idea yang dilihat menjurus supaya kontraktor sentiasa berharap pada bantuan kerajaan perlulah dikaji. Apa jua idea-idea yang menyebabkan kontraktor diajak untuk terus tertinggal dalam arus perubahan perlulah diselidiki.

Mahanom Mohammad
Terima Kasih atas perkongsian. Lesen saya baru lulus dan saya singgah di sini untuk dapatkan sedikit panduan bagi hala tuju saya nanti. Doakan saya ya. Saya doakan akak terus berjaya.
Terimakasih atas makluman. Lesen itu amanah. Gunakan sebaiknya. Pastikan diperbaharui sekurang-kurangnya 60 hari sebelum tamat tempoh.