“Kami hanya dibenarkan untuk buat kerja pada waktu malam, kerana tidak mahu mengganggu operasi hospital di waktu siang. Masa malam pertama, staf saya ternampak macam-macam dalam bilik simpanan darah.
Aduhhhhh, antara ruang kerja kami dan bilik simpanan darah tu, hanya dipisahkan oleh cermin sahaja. Walaupun pada waktu malam bilik itu ditutup lampu, kami masih boleh nampak pelbagai ‘hantu’ dalam bilik itu.” cerita kontraktor ini.
Tahun ini, saya terlibat dalam penilaian kontraktor. Kami ke pejabat mereka untuk melakukan penilaian pengurusan projek.
Apabila ditanya, apakah cabaran yang mereka hadapi dalam melaksanakan kerja ubahsuai di hospital itu, mereka berkongsi cabaran lazim yang sering dialami oleh kontraktor biasa seperti modal memulakan kerja, waktu kerja yang berbeza, bahan kemasan yang sukar ditemui sehingga perlu memesan dari luar negara dan lain-lain lagi.
Lalu saya mencelah, “Hospital ini hospital lamakan? Dibina sekitar 1930an kan? Kerja malam-malam tiada gangguankah?”
Dalam dunia pembinaan, kehadiran entiti halus sering kali menjadi topik yang menarik dikalangan kontraktor.
Ramai pekerja di tapak projek melaporkan pengalaman aneh yang dikaitkan dengan kehadiran hantu atau entiti tidak terlihat.
Walaupun tiada bukti saintifik yang menyokong kewujudan entiti halus, tetapi kita juga sukar menafikan kehadiran mereka di tapak-tapak lama. Terutama di tapak yang mempunyai sejarah tertentu yang dikaitkan dengan kematian.
“Maka, bagaimana kamu menangani masalah ini?” tanya saya kerana rekod kerja kontratkor ini menunjukkan beliau berjaya menyiapkan kerja tepat pada masa yang dijanjikan.
“Kami berbincang dengan pihak hospital untuk meminta Ustaz datang ‘membersihkan kawasan tersebut’.
Selesai acara pembersihan, kami adakan solat hajat dan bacaan yassin meminta pertolongan dan perlindungan Allah. Kami teruskan datang bekerja seperti biasa.
Tidak lama selepas itu, tempat itu beransur-ansur hilang seramnya dan kami dapat bekerja dengan aman semula.” Cerita kontraktor ini.
Bagaimana menangani entiti halus di tapak kerja?
1. Pendidikan dan Kesedaran
Langkah pertama dalam menangani entiti halus di tapak projek adalah dengan mendidik pekerja mengenai kepercayaan dan mitos yang berkaitan.
Kita kena bezakan antara logik akal dan keadaan persekitaran yang menyumbang kepada kewujudan entiti.
Galakkan pasukan berkongsi tentang pengalaman dan ketakutan mereka.
Berikan mereka kesedaran bahawa entiti ini juga adalah makhluk Allah dan kita mestilah memohon perlindungan Allah dari gangguan entiti ini.
2. Mencipta Persekitaran yang Selamat dan Positif
Ketakutan yang dihadapi oleh pekerja mesti diuruskan segera. Cipta persekitaran kerja yang selamat dan positif untuk meneruskan kerja.
Kontratkor boleh dapatkan bantuan dari perawat untuk membersihkan tapak projek. Pastikan tapak sentiasa bersih, teratur dan dilengkapi dengan pencahayaan yang mencukupi.
Dengan mencipta suasana yang selesa, pekerja akan berasa lebih tenang dan kurang terdedah kepada pengalaman yang menakutkan.
3. Menggunakan Pendekatan Rasional
Ada kala, pengalaman yang dianggap sebagai kehadiran entiti halus, hanyalah permainan perasaan sahaja.
Ini dapat dijelaskan dengan faktor psikologi, seperti tekanan kerja atau keletihan.
Pastikan pasukan kita mendapat rehat yang cukup dan melakukan aktiviti yang mengurangkan stres untuk membantu mengatasi ketakutan dan meningkatkan produktiviti kerja mereka.
Kesimpulan
Menangani entiti halus di tapak projek memerlukan pendekatan yang seimbang antara pendidikan, sokongan psikologi, dan penglibatan spiritualiti. Dengan langkah-langkah ini, pekerja dapat merasa lebih selamat dan dihargai, sekaligus mengurangkan kebimbangan mengenai kehadiran entiti halus.
Dalam dunia pembinaan, menjaga kesejahteraan mental dan emosi pekerja adalah kunci kepada kejayaan projek. Pada masa yang sama, kehadiran entiti yang tidak diundang perlu diambil tindakan sewajarnya.
Akhirnya, mengharungi kompleksiti pembinaan memerlukan kita untuk menangani kedua-dua aspek yang nyata dan tidak nyata—memastikan bahawa apabila kita menyerahkan projek, ia bukan sahaja kukuh secara fizikal tetapi juga harmoni secara spiritual untuk mereka yang akan menghuninya. hingga apabila kita melakukan ‘handing over’ kepada klien, tapak tersebut bukan sahaja bersih dari sisa bahan binaan, tetapi juga bersih dan mendamaikan jiwa penggunanya.
Apabila melakukan kerja di tapak bina baharu, adakah wajar untuk kita buat penilaian dahulu sama ada tempat itu selamat atau berhantu?
Mahanom Mohammad