Bina Rumah Sempurna adalah satu program yang dianjurkan oleh pada 26 Ogos 2020 oleh Tuan Muhamad Noor Asyraf, seorang kontraktor Terengganu yang mahu melihat perkembangan positif lahir di kalangan kontraktor yang membina rumah atas tanah sendiri.
Inspirasi Bina Rumah Sempurna lahir apabila terdapat banyak aduan dari pemilik rumah mengenai kediaman mereka yang tidak dibina dengan sempurna. Kes rumah terbengkalai, kontraktor lari di tengah jalan, rumah mengalami kerosakan, kualiti kerja yang rendah, gagal mendapat CCC, dan pelbagai lagi hingga melahirkan kerisauan di hati saya, sekiranya rakyat Malaysia hilang kepercayaan kepada kontraktor tempatan terutamanya kontraktor melayu.
Ada banyak sebab yang menyumbang kepada masalah ini.
Sebab utama adalah kontraktor yang dilantik tidak memahami peraturan membina yang melibatkan lantikan perunding, peraturan undang-undang hak milik tanah dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam.
Perubahan dalam penyerahan pelan pemajuan untuk mendapatkan kelulusan membina serta Dasar Pembinaan Perumahan yang dilancarkan pada tahun 2018 juga menyumbang kepada kekeliruan di kalangan kontraktor perumahan.
Ilham bengkel Bina Rumah Sempurna ini diadakan sebaik sahaja kes Covid-19 menunjukkan penurunan.
Ia dianjurkan dalam masa yang singkat dan SOP penjarakan yang ketat.
20 kontraktor dari Terengganu, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sendiri melapangkan diri untuk hadir bersama pada bengkel 1 hari suntuk yang diadakan di TD1303, sebuah pusat pendigitalan yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu.
Ada 4 Modul Utama saya kongsikan dalam bengkel ini yang menyentuh dari membaca geran, membangunkan pelan dan lukisan teknik, proses kelulusan mendapatkan Kebenaran Merancang, kontrak pembinaan, menguruskan kontrak dan binaan, serahan, tempoh kecacatan, CCC dan yang paling utama adalah ciri-ciri rumah sempurna yang dilihat dari perspektif maqasid syariah supaya pemilik rumah mendapat ketenangan menghuni di rumah kediaman yang mereka impikan.
Pesan terakhir saya kepada kontraktor perumahan agar sentiasa jujur dalam menyampaikan kerja yang diamanahkan pemilik rumah.
Sentiasa bawa bersama integriti sepanjang proses berurusan dengan pejabat tanah, perunding, pihak berkuasa tempatan, syarikat pengurusan air, letrik, kumbahan, atau mana-mana pihak ke-tiga yang terlibat seperti pihak pemberi kemudahan pembiayaan, sub-kontraktor lantikan, tukang-tukang yang bekerja dengan kita sepanjang penyampaian proses binaan.
Secara peribadi, ini adalah antara bengkel yang melekat di hati saya, bukan sahaja kerana disantuni baik di negeri Terengganu ini, tetapi juga diadabi penuh sopan oleh peserta-peserta itu sendiri.