Mahanom Mohammad

Bersusah Dahulu, Bersenang Kemudian

Soalan timbul dari post sebelum ini. Bagaimana saya strukturkan bebanan bulanan sebelum berhenti kerja.

Dua tahun pertama berniaga, hasil sangat lumayan. Waktu puaskan nafsu muda. Beli kereta, rumah. Beli barang tidak perlu lihat tag harga. Ambil sahaja. Dunia ibarat syurga.

Masuk tahun ketiga, pertama kali syarikat ikat kontrak kerja. Perkhidmatan bulanan perlukan pekerja tetap. 6 bulan pertama sangkut tersontot, bahasa anak muda sekarang. 

Manakan tidak. Kontrak sangkut di unit Legal. Selagi kontrak tidak didokumentasikan, selagi itu akaun tidak boleh lepaskan bayaran.

Maka mulalah episod setiap gaji bulanan dari kerja tetap dialirkan kesyarikat. Pinjaman pendiri niaga. Untuk bayar gaji pekerja. Semua saya rekodkan. 

6 bulan pertama, banyak perkara tidak dapat langsai. Terutama rumah kedua dan kereta. Suami fokus pada rumah pertama dan dua buah kereta bawah tanggungan syarikat.

Ketika itu kemelut ekonomi negara mahu berlaku. Tampuk pemerintahan baru beralih kuasa. Dari Tun M kepada Tun A. Syarikat majikan ketika bekerja juga terkesan. 

Selain dari memegang rekod kewangan Emartech, saya juga memegang rekod prestasi jualan syarikat majikan. Beberapa kertas cadangan dibuat untuk naikkan prestasi. Jumpa CEO, semuanya ditolak. 

Tahukan bagaimana rasanya bila semua idea ditolak? Ya, motivasi menurun. Tambahan pening kepala dengan prestasi kewangan syarikat sendiri juga tersontot.

Saya usulkan beberapa cadangan kepada suami. Termasuk rancangan berhenti kerja. 

Syarikat perlu penukaran strategi. Perlaksanaan taktik. Cara lama sudah tidak berkesan. Unjuran belanjawan 3 tahun hadapan dibentangkan. Rancangan baru perlu dibuat. Lihat belanjawan negara. Ambil tahu SOP GLC. Teroka pasaran baru. Teroka bakat yang ada. Apa lagi ada dalam tangan belum digunakan. 

 

Semuanya berdasarkan prestasi masa lalu. Dijadikan formula untuk hala tuju baru.

6 bulan sebelum berhenti. Penyata bank akaun peribadi masih tunjuk wang gaji. Ada payslip. Ada rekod gaji. Saya ke bank, mohon bayaran bulanan rumah kedua ditukar lebih rendah. Diluluskan. Dari RM1,600 ditukar kepada RM1,200. 
.
Kereta sedan dijual. Bayaran bulanan RM1,200. Tiada untung jual kereta malah kena tambah hutang bank lagi. Ada duit tabungan haji, keluar dan settlekan semua. Ambil kancil. Bayar RM400 sebulan.
.
Lihat pakej line telefon. Satukan internet dan talian biasa. Ambil pakej penjimatan. Langgan astro siaran biasa. Lihat komitmen bulanan. Potong yang membebankan. Buat bajet. Belanja dapur setkan jumlah. Sorokkan kredit kad jauh dari mata.
.
Lihat semula belanja bulanan. Potong segala yang patut. Tiada lagi huha makan di tempat 5 bintang. Tiada lagi cuti naik kapalterbang. Tiada lagi shopping sini sana. Lifestyle hidup diubah. Pujuk diri, ini semua sementara.

Korbankan kegembiraan masa sekarang untuk kesenangan dihari tua.

6 bulan sebelum berhenti. Biasakan hidup susah. Rakan-rakan “syurga dunia” jauhkan diri. Tidak apa. Biarkan mereka.
.
6 bulan sebelum berhenti. Tutup mata letak duit dalam ASB. Kerana ASB hendak masukkan duit mudah. Hendak keluarkan susah.
.
6 bulan sebelum berhenti. Saya latih staf bawahan habis habisan. Agar bila berhenti CEO tidak pening kepala. Ada staf boleh ambil alih tugasan saya. 
.
Persiapkan diri sebelum berhenti. Kaki akan melangkah masuk belantara puaka. Apa bekalan rohani. Apa bekalan jasmani. Tambah ilmu. Baca buku. Pegang kawan untuk menangis, kerana tahu banyak airmata akan mengalir.
.
Banyak perkara perlu dikorbankan. Latih diri berkorban untuk 6 bulan. Jika lulus, baru usulkan surat letak jawatan.

Artikel ini asalnya ditulis di laman buku FB saya.

(Visited 195 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published.