Masa kita belum kaya, kita berlumba-lumba berusaha nak jadi kaya.
Ada yang guna formula ‘fake it until you made it’, guna jenama kualiti Triple A, pinjam kereta mewah rakan dan saudara, orang kata sebagai boost untuk jadi kaya.
Ada yang baru-baru nak rasa kaya.
Yang ini golongan yang akan ‘sayang’ dan ‘value’ sangat jenama ori yang mereka mula mampu miliki.
Sudah rasa kelembutan DIor original, dah tak nak guna Dior AAA lagi.
Bila hujan, sanggup buka kasut LV yang mereka beli dan redah hujan berjalan kaki. Asal kasut LV tidak ‘demam’ atau panas terkena matahari.
Golongan ini, selalunya, mengenakan barangan mahal, supaya mereka dapat ‘merasa mahal’.
Tetapi perasan tak, golongan yang kaya, tak sibuk nak tunjuk semua barang perhiasan, baju kasut berjenama yang mereka gunakan.
Ada kala hanya berselipar dan sarung tshirt bundle saja.
Mereka ini, selalunya dah rasa semua yang golongan baru-baru nak jadi kaya rasa.
Mereka tahu nilai mereka sedia ‘mahal’ – maka mereka tak perlu bergantung pada perhiasan atau baju berjenama untuk beritahu dunia mereka mahal.
Kadang pakai selekeh pun, kalau dah mahal, memang nampak mahal.
Gitulah.
Tapi ada satu golongan ni, pada saya super mahal.
Lihat mereka saja, buat kita tenang.
Buat kita ingat Allah dan Rasulullah.
Dunia bukan lagi ukuran, asalkan pengakhiran mereka diredhai Allah.
Asal akhirat nanti diakui umat Rasulullah.
Bila berjumpa mereka, kita automatik dah tak tengok pun dia pakai kasut atau beg jenama apa, kening dia cantik ke tidak, hidung penyek atau mancung terletak.
Yang kita dambakan adalah matanya yang bersih bersinar. Kata-katanya yang lunak didengar.
Buat kita rasa berada di taman syurga.
Walaupun sedang berhimpit di ruang masjid yang sempit.
Saling ingat mengingatkan.