Berniaga Dengan Allah

Selalu kalimah ini terpacul sendiri apabila menulis atau berkata-kata.

Semalam seorang sahabat bertanya, apa maknanya bila disebut dalam bengkel, perniagaan paling beruntung adalah “Berniaga Dengan Allah”

Dalam K101, saya mulakan bagaimana membina sistem seperti pengurusan korporat.

Bila buat bajet, senaraikan Belanja Operasi dahulu. Kemudian baharulah akan mudah membuat sasaran jualan. Dapatkan angka lebih rasional dan bukan syok sendiri.

Bila sentuh pematuhan, disebutkan obligasi dan tanggungjawab sebagai peniaga islam. Dan sudah pasti akan di sebut mengenai zakat perniagaan.

“Islam itu addin. Cukup dan menyeluruh. Kitab AlQuran ada segalanya. Kita selalu mencari formula untuk berjaya dalam perniagaan. Dan formulanya ada disebut dalam hampir setiap surah dan helaian.” Itulah tata bicara yang selalu keluar dari lisan ini.

Saya bukan hafizah. Tetapi memang setiap kali membaca AL Quran, mesti terjumpa ayat ini.

“Dirikan solat dan tunaikan zakat.”

Sudah disebut perkara kedua penting selepas mendirikan solat, iaitu menunaikan zakat.

Maka apabila membuat bajet dan sasaran jualan, pastikan sasaran pertama yang bermain dikepala adalah “tahun ini mahu sasar zakat perniagaan berapa?”.

Untuk kupasan kepada persoalan diatas, ditambah lagi dengan rujukan ini.

Surah Al-Fathir, Ayat 29.
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Qur’an) dan melaksanakan shalat dan menginfakkan sebagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak akan merugi.”

Disebutkan disini tiga perniagaan yang tidak pernah rugi bila dilakukan.

1. Membaca Kitab
2. Mendirikan Solat
3. Menginfakkan Rezeki (sedekah dan zakat)

Apa kaitannya dengan perniagaan?

Membaca kitab itu bukan sekadar baca, namun fahami dan selami setiap ilmu yang Allah berikan.

Mendirikan solat itu tiang iman, mendisplinkan diri dan perkukuhan tauhid dalam diri. Ia bantu menguatkan amanah dan intigriti semasa transaksi berniaga.

Menginfakkan rezeki, tidak perlu lagi dikupas mengenai sedekah dan zakat. Tangan diatas sentiasa lebih baik dari tangan dibawah. Memberi lebih baik dari menerima. Melakukan CSR dan Sosial Enterprise itu adalah antara nadinya.

Saya harap posting ini membantu menjawab soalan sahabat yang berpeluang menghadiri K101.

Inilah maksudnya apabila diri berkata, perniagaan yang paling beruntung adalah berniaga dengan Allah.

Dalam Al-Quran semua formula ada. Baca, faham, amal, ajar dan sebarkan.

(Visited 193 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *