Berhenti Merungut

Bacaan Asal

Bila tengah down dan tidak jumpa semangat, pujuklah hati, pupuklah jiwa. Jadi positif sahaja.

1. Bukan semua benda yang kita hendak, akan dapat. Ada sudah direzekikan untuk kita. Ada juga memang telah ditulis bukan untuk kita. Lumrah hidup, bila tidak dapat apa yang kita mahu, akan rasa sedih, rasa pilu.

2. Bila orang tanya bagaimana mahu melepasi rasa sedih dalam hati. Jawapan yang ada pada saya adalah kebergantungan iman pada Dia. Juga pentingnya memupuk sifat postitif dalam minda.

3. Sifat positif itu ada pada setiap manusia. Bila sudah biasa, dia akan mudah dijumpa. Bagi yang tidah berjumpa sifat positifnya, usah risau. Untuk melahirkan sifat positif dalam diri, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mahu berubah.

Buang topis negatif, pakai topi positif segera.

Tidak kiralah apa jua kisah silam kita semalam. Pagi ini kita boleh mulakan hari baru dengan buat benda yang kita perlu. Tanamkan sifat positif yang baru. Besarkan sikap positif sedia ada.

4. Berhentilah merungut. Berhentilah mencari-cari silap orang lain sahaja. Hingga lupa diri sendiri juga tidak sempurna. Berdamailah dengan apa yang Allah hadirkan dalam hidup kita ‘melalui’ silap yang kita nampak pada mereka.

Kita tidak boleh jadi sempurna, kerana sempurna itu hanyalah MilikNya sahaja.

5. Bila timbul rasa stress atau tidak puas hati, diamlah dulu. Usah mudah lepaskan perasaan pada orang lain. Takut-takut mereka tidak faham dan menghakimi diri pula. Bukan semua orang yang kata ‘faham dengan situasi kita’, benar memahami apa yang kita lalui.

Sebaik-baik tempat mengadu hanya pada Dia. Dia selalu mendengar, kita sahaja yang kurang bercerita.

6. Tukar cara fikir. Tukar cara rasa. Bila selalu buat benda yang sama, kita akan dapat perkara yang sama juga.

Bila mahu perkara yang tidak pernah dapat, kenalah buat benda yang tidak pernah buat.

7. Tanamkan sifat empati dalam diri. Selalu cuba letak diri dalam kasut orang lain. Buat apa yang kita rasa dapat gembirakan mereka. Jadikan ‘menggembirakan’ orang sekeliling satu kejayaan peribadi untuk diri sendiri.

Ini juga melatih diri buang sifat pentingkan diri sendiri.

8. Mulakan pagi dengan lahirkan fikiran positif. Fikirkan semua perkara positif yang mahu dibuat. Untuk lebih fokus, letaklah 3 perkara dulu. Setiap masuk waktu, periksalah semula, setakat mana prestasi kecemerlangan kita.

Setiap kali melintas perkara negatif. Pejam mata, tarik nafas. Katakan pada ‘suara krik krik’ itu, pergi dari sini.

9. Praktis ‘self-talk’ yang positif. Saya boleh, saya mesti, saya akan, insyaallah peluang itu ada, saya bagus, saya pasti.

Dalam memuji diri sendiri, sentiasa beringat, bahawa itu semua sifat Dia. Kita hanya percikkan sahaja sifat 20 itu.

Sikap positif penting dalam kehidupan. Ia bukan dibentuk dalam satu hari. Sikap positif (atau apa jua sikap baik) perlu dilatih selalu. Ia ‘menjemput perkara baik’ dalam kehidupan juga.

Sikap positif cerminan peribadi. Mereka yang bersifat positif selalunya tidak ambil pusing apa orang keliling mahu kata mengenai mereka. Tidak kisah untuk berdebat pertahankan pendapat. Kerena mereka tahu apa mereka mahu.

Mereka hanya fokus kepada perkara yang membawa tenaga positif sahaja.

Gembira dalam kehidupan.
Hargai kejayaan.
Kawali kekecewaan.
Tidak semua hujan ribut berakhir dengan taufan.
Ada juga yang munculkan pelangi, bila matahari memancar sinaran.

(Visited 86 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *