Hakikat orang berniaga. Mulanya hanya mahu cuba-cuba.
Serius jadi usahawan bila tempoh percubaan beri kepuasan. Nampak hasil jualan.
Yakin jika cuba pun pulangan lumayan, nanti serius pasti untung besar. Kaya raya.
.
Maka mulalah serius berniaga.
Rupanya dunia usahawan tidak indah bagai dikata. Pelbagai halangan. Tidak berhenti datang cabaran.
Kekangan tunai masalah utama.
Disinilah zon menguji. Dunia usahawan mengelarnya zon belantara puaka.
Ada yang putus asa.
Berhenti niaga dan kerja makan gaji semula. Perlu gaji tetap untuk bayar kos hidup juga.
Ada melompat buat bisnes lain pula.
Begitulah lompat melompat hingga jumpa bisnes paling serasi dengan diri.
Ada masih mengayuh.
Pikul segala beban yang ada. Beban emosi, beban hutang, beban ego, beban malu dan pelbagai bebanan hanya dia sahaja tahu.
Sampai bila hendak duduk dalam zon puaka ini?
Insyaallah, zon belantara puaka ini tidak lama. Sementara sahaja.
Belajar dari pengalaman mereka yang telah melepasi zon ini.
Cuma, jangan lama lama duduk dalam zon ini. Makin lama duduk, makin susah mahu berdiri.
Bagaimana mahu tahu berniaga kita status apa?
Apakah ciri status hampir masuk belantanra puaka ini?
Atau sedar sedar sudah dalam dunia perit ini. Mungkin juga sedang berlari keluar ke zon lebih selesa.
Pegang 3 Rekod Angka.
- Angka Usaha
- Angka Jualan,
- Angka Perbelanjaan.
Rekod angka itu umpama cahaya dalam kegelapan.
Melalui rekod tersebut, kita dapat menyuluh jalan keluar.
Bila ada rekod ini. Insyaallah akan mudah elak dari termasuk zon belantara puaka.
Dan jika silap langkah pun, rekod angka memudahkan jalan keluar.