Belajar Melepaskan

Bila Janji Tidak Ditepati, Kita Belajar Melepaskan

Beberapa hari lalu, saya terserempak dengan bekas bos saya — seorang CEO syarikat tempat saya pernah bekerja. Kami berbual santai, tiada lagi hubungan formal antara kami. Tapi satu perkara yang mengejutkan saya: dia rupanya pembaca senyap posting-posting saya selama ini.

Dalam perbualan itu, dia bertanya soalan yang pernah saya jawab berkali-kali dalam hati: “Kenapa sebenarnya awak berhenti?”

Saya jawab dengan jujur — seperti kebanyakan staf lain yang memilih untuk pergi — kerana rasa tidak dihargai.

Bukan kerana beban kerja. Saya jenis yang kalau dicampak ke laut, boleh jadi pulau. Dicampak ke darat, boleh jadi gunung. Saya go-getter. Bila buat kerja, saya buat bersungguh-sungguh. Saya suka cabaran. Saya suka belajar.

Saya pernah buat kerja luar skop, siapkan laporan untuk mesyuarat exco, bantu unit lain, dan paling penting — saya pernah cadangkan penubuhan anak syarikat sebagai sumber pendapatan tambahan. Proposal itu diterima. Anak syarikat pun ditubuhkan. Dan bila syarikat induk hadapi krisis kewangan, anak syarikat itulah yang bantu alirkan tunai sementara.

Tapi bila tiba masa untuk memilih siapa yang akan mengetuai operasi anak syarikat itu, orang lain pula yang dipilih. Saya diberitahu ada posisi lain yang “lebih penting” untuk saya. Saya tunggu. Saya tanya. Tapi makin lama, makin ramai orang baru dibawa masuk. Saya hanya memerhati dari jauh.

Akhirnya saya berhenti.

Bukan kerana kecewa. Tapi kerana saya tahu bila masanya untuk melepaskan.

Dalam hidup, kita boleh bertahan jika masih ada semangat. Tapi bila janji dimungkiri, jangan tunggu terlalu lama. Nanti kita jadi gila menunggu sesuatu yang tidak akan datang.

Hari ini, saya bahagia dengan perniagaan sendiri. Saya belajar bahawa penghargaan bukan hanya datang dari orang lain — tapi dari keberanian kita untuk memilih diri sendiri.

Terima kasih, bekas bos, kerana mengakui sumbangan saya. Tapi lebih penting, terima kasih kepada diri saya sendiri — kerana berani melangkah pergi.

Mahanom Mohammad – www.mahanom.com

(Visited 13 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *