Saya terima banyak pertanyaan melalui facebook tentang apa yang perlu dilakukan setelah mendapat lesen kontraktor.
Kontraktor adalah satu jenis perniagaan yang menjual perkhidmatan.
Jenis perkhidmatan pula ada pelbagai jenis.
Ada yang menawarkan perkhidmatan sebagai kontraktor bangunan. Ciri-ciri perkhidmatan adalah membina bangunan yang mempunyai desain bersifat seni bina, membaiki bangunan, mengubahsuai bangunan, memulihara bangunan hinggalah meroboh bangunan.
Bangunan pula ada pelbagai jenis.
Ada bangunan kediaman, ada bangunan pejabat, ada bangunan rumah kedai, ada bangunan masjid, sekolah, hospital, klinik, dewan serbaguna, hotel, universiti dan pelbagai jenis lagi mengikut keperluan pengguna dan pemilik bangunan.
Ada yang menawarkan perkhidmatan sebagai kontraktor kejuruteraan. Ciri-ciri perkhidmatan adalah membina binaan yang mempunyai desain bersifat kejuruteraan seperti jalan dan lebuh raya, lapangan terbang, dataran pelabuhan, dek, dermaga, empangan, jambatan dan sebagainya.
Ada juga yang menawarkan perkhidmatan sebagai kontraktor pempaipan, mekanikal, elektrikal dan pengurusan fasiliti.
Dalam dunia perniagaan, adalah penting untuk usahawan mengenali produk mereka secara terperinci, secara teknikal seperti kandungan produk, formula produk, bahan-bahan produk, cara produk dikeluarkan dan dibungkus, ciri-ciri produk, keperluan kelulusan, manafaat produk, cara menyimpan, mengguna dan menggunakannya, saiz dan juga bentuk produk. Kita juga perlu tahu kos pengeluaran produk, kos pemasaran produk, kos agihan produk, dan kos-kos yang lain sebelum ia sampai ke tangan pelanggan. Kos-kos ini amat penting untuk membantu kita mengenal pasti harga yang akan ditawarkan.
Begitu juga kontraktor, kita perlu mengenali jenis perkhidmatan yang kita tawarkan.
Contohnya sekiranya kita memilih untuk menjadi kontraktor bangunan, kita perlu tahu keperluan undang-undang untuk membangunkan sesuatu bangunan sehingga siap, komponen-komponen bangunan, bahan binaan dan formula yang digunakan bagi membina dan menyambung komponen-komponen ini, ciri-ciri dan fungsi rekabentuk, manafaat dan nilai engineeringnya.
Kita juga perlu tahu kos-kos yang terlibat, skop kerja mengikut peringkat, kawalan kualiti, kawalan pencemaran, kawalan kemalangan, kawalan kesihatan dan lain-lain lagi.
Maka perkara pertama bagi yang mahu menjadi kontraktor adalah buat keputusan apakah jenis perkhidmatan yang hendak ditawarkan. Contohnya katalah hendak menjadi kontraktor mekanikal, kemudian kecilkan sedikit skopnya sama ada mahu menjadi kontraktor sistem kawalan penyejukbekuan, sistem pencegahan kebakaran, sistem kawalan tekanan pam, sistem dobi, sistem air panas, sistem angkatan seperti lif atau ekskalator dan lain-lain.
Apabila kita telah memilih jenis perkhidmatan yang mahu ditawarkan, maka lengkapkan diri kita dengan kemahiran dengan pengetahuan yang berkait rapat dengan perkhidmatan tersebut. Ambil kursus-kursus kecekapan anjuran CIDB atau Akademi Binaan Malaysia.
Untuk menjadi kontraktor yang sah, kita perlu mendaftar di CIDB. Panduan mendaftar boleh dirujuk di sini.
Menjadi kontraktor, paling utama kita perlu tahu apa itu Kod Etika Kontraktor.
Kemudian fahami proses kerja, bangunkan sistem kerja, sediakan alatan marketing seperti kad bisnes dan profail, kemudian bertebaranlah di pasaran yang sesuai untuk mencari pelanggan.
Untuk bacaan tambahan, boleh baca di sini.