Ada pemilik rumah tanya apa beza harga kontraktor yang menggunakan besi tetulang jenis BS dan CQ.
Saya jawab begini:
HARGA
Dari segi harga, besi BS lebih mahal dari CQ menjadikan kos binaan yang menggunakan BS juga mahal.
Itu sebabnya harga kontraktor tempatan yang menggunakan besi tetulang BS menjadi mahal.
Besi CQ pula lebih murah menjadikan kos binaan harga lebih murah.
RISIKO
Besi CQ tidak diperakui dalam penggunaannya dalam binaan struktur bangunan di Malaysia kerana ia tidak menepati ciri-ciri kejuruteraan yang dibenarkan dalam binaan bangunan di negara ini, termasuklah binaan bangunan kediaman.
Ini kerana kekuatan tegasan CQ tidak seperti besi BS dan merisikokan dinding dan lantai retak boleh menjadi rosak dan retak bergantung kepada bebanan yang perlu ditampung oleh kediaman tersebut.
USAH RISAU
Tetapi pemilik yang masih memilih untuk menggunakan besi CQ atas faktor harga, tidak perlu risau. Apa yang perlu mereka lakukan adalah sentiasa menabung untuk membayar kos selenggaraan membaiki keretakan yang timbul selepas s 3,4,5 tahun akan datang.
Ini kerana keretakan tersebut hanya muncul paling dengan garis paling halus secepat 6 bulan selepas rumah siap didirikan.
Sekiranya keretakan itu menjadi besar hingga roboh pun, pemilik hanya perlu mengeluarkan kos untuk untuk membina semula lantai, dinding dan bumbung yang roboh termasuk perabot dan harta yang musnah akibat robohan tersebut.
Sekiranya keretakan itu menjadi lebih serius hingga kediaman ranap menyebabkan penghuni rumah terperangkap, pemilik hanya perlu memanggil pihak polis dan bomba untuk membantu mengeluarkan anak isteri, emak dan ayah serta mangsa lain yang terperangkap.
Juga sedikit kos pengurusan jenazah sekiranya ranapan tersebut boleh menyebabkan kematian.
Besi BS adalah merujuk kepada tetulang besi yang mempunyai pengiktirafan British Standard. Ukuran diameternya adalah tepat bergantung kepada jenis besi, cth Y12, ukuran diameternya ada 12mm tepat. Besinya secara fizikal mempunyai gegelung bunga yang rapat dan mempunyai cap BS.
Besi CQ adalah merujuk Commercial Quality. Ukuran diameternya selalu kurang beberapa mm dan ukuran panjangnya kurang 1 kaki dari besi BS.
Apabila hendak membina struktur rumah, pastikan kita menggunakan spec besi BS bagi menjamin kekuatan dan ketahanan struktur tersebut.
Keselamatan penghuni rumah adalah tanggungjawab kita sebagai kontraktor yang membina.
Bagi pemilik rumah, pastikan tukang kontraktor menggunakan besi BS dalam binaan struktur rumah terutama apabila anda diberikan harga besi BS.
Jangan sampai bayar harga BS dan dapat kualiti CQ.

Mahanom Mohammad