Akibat Setitik Nila

1. Setahun dua ini, banyak cerita pelanggan ditipu kontraktor dapat dibaca di media sosial. Taip sahaja keyword ‘kontraktor penipu’, akan keluar pelbagai pengalaman pelanggan. Ada yang siap expose fb kontraktor yang menipu mereka.

2. Dalam komuniti FB Group Kontraktor Malaysia juga, memang hampir setiap minggu akan ada pelanggan berkongsi cerita masalah dengan kontraktor yang uruskan pembinaan dan ubahsuai rumah mereka.

3. Sebagai warga kontraktor, saya terkesan dengan cerita-cerita ini. Kadangkala kasihan pula bila pelanggan yang ditipu itu pula dikecam hebatdan dipersoalkan kenapa tidak buat itu ini sebelum melantik kontraktor.

4. Siapa mahu kena tipu? Apatah lagi apabila kontraktor yang mereka jumpa itu berwajah baik dan bercakap lembut bagai pijak semut pun sukar nak mati.

5. Saya sendiri adakala terima mesej dari netizen yang tidak dikenali, bertanyakan tentang kontraktor yang kebetulan dalam senarai friendlist saya dan terlihat memberi komen dalam posting.

6. Ada yang minta pandangan mengenai kontraktor tersebut. Ada yang mencari kontraktor tersebut kerana masalah yang belum selesai antara mereka. Ada juga yang terang-terang bercerita bagaimana mereka ditipu oleh kontraktor-kontraktor ini.

7. Saya sering juga meneliti profil kontraktor-kontraktor yang dikatakan menipu pelanggan.

8. Ada profil yang ‘too good to be true’. Menawarkan servis pada harga ‘tak masuk dek akal’. Konten yang hype iaitu melebih-lebih bila umumkan sesuatu. Satu dikata tiga, lima dikata sepuluh.

9. Ada yang bersawang, kerana terlalu sibuk ditapak kerja. Ada yang ambil gambar projek orang lain dan mengaku projek sendiri. Ada yang kutuk kontraktor lain semata-mata mahu up kan diri sendiri. Macam-macam yang boleh kita jumpa dalam media sosial ini.

10. Kontraktor samada memang berniat menipu atau ‘ada masalah tertentu’ secara tidak lansung telah mengundang stress atau tekanan perasaan pada pelanggan mereka.

11. Bayangkan wang yang terlibat selalunya mencecah hingga lima angka. Boleh jadi itu wang simpanan pelanggan yang dikumpul seumur hidup mereka.

12. Bayangkan masa yang dipersia apabila menunggu, menunggu dan terus menunggu, tetapi kontraktor yang telah diberi bayaran tidak muncul tiba hingga projek terbengkalai begitu saja.

13. Bayangkan impian pelanggan hancur berkecai untuk menyambut raya dirumah baru. Atau mengadakan sambutan tertentu tidak terlaksana.

14. Bayangkan tekanan perasaan yang dihadapi pelanggan bila perlu fikir jalan keluar untuk selesaikan masalah yang ditimbulkan kontraktor penipu ini.

15. Ada yang terpaksa turun naik buat laporan polis, naik turun mahkamah bagi mendakwa kontraktor tersebut. Ada yang terpaksa mencari kontraktor baru menyiapkan kerja yang terbengkalai. Ada yang terpaksa pinjam bergadai sana sini terpaksa keluar kos tambahan membayar kontraktor baru pula.

16. Sudahnya cerita-cerita kurang enak ini mula menuding semua kontraktor pun sama seperti mereka. Kontraktor Penipu dan tidak boleh dipercayai.

17. Maka benarlah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana seorang dua kontraktor penipu, boleh rosak satu industri.

Bacaan Asal

(Visited 85 times, 1 visits today)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *