‘A Hero in Me’ adalah satu slot motivasi dalam acara yang dianjurkan oleh CIDB Wilayah Persekutan yang diadakan pada 18 Oktober 2019. Acara ini menghimpunkan ahli-ahli persatuan kontraktor dan pelapis industri yang baharu sahaja mendaftar sebagai Kontraktor G1 semenjak pendaftaran G1 di buka semula pada September 2019.
Dalam program ini saya berkongsi dengan peserta mengenai cerita saya 30 tahun dahulu apabila baru-baru berjinak dalam Industri Binaan.
Untuk berjaya kita perlu amalkan PASS.
PASS adalah satu akronim untuk
Pematuhan – Setiap kontraktor perlu tahu apakan peraturan undang-undang yang perlu dipikulnya ketika menjalankan tugas kontraktor dan menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan
Amanah – Setiap kontraktor perlu amanah dalam setiap projek yang dianugerahkan kepada mereka.
Sasaran – Setiap perniagaan perlu ada 4 jenis sasaran, iaitu sasaran pasaran, sasaran pelanggan, sasaran projek dan sasaran pengurusan projek.
Strategi – Bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai, strategi perlulah dirancang dan taktik perlu dibangunkan
Itulah formula yang saya gunakan semasa membangunkan perniagaan.
Belantara Puaka
Dengan usaha, pasti akan berjaya. Tetapi apabila tidak banyak pengalaman, kita boleh tersungkur jatuh. Begitu juga yang terjadi pada kami apabila industri menyaksikan kenaikkan harga bahan mentah pada tahun 2008 dan 2009.
SIHAT Kembali
Untuk bangkit semula, saya kongsikan kepada peserta betapa pentingnya untuk menjaga emosi agar sentiasa SIHAT seperti berikut:
Sabar – Kita perlu banyak bersabar dalam menempuh kesukaran. Tanpa sabar kita tidak dapat membuat keputusan yang betul hingga merugikan kemudian hari.
Ilmu – Mesti dapatkan ilmu baharu kerana ilmu-ilmu yang sudah ada dalam diri telah dipergunakan sepenuhnya. Dapatkan ilmu industri, ilmu perniagaan dan ilmu kehidupan dari mereka yang telah berpengalaman.
Hati – Hati adalah sekeping daging yang apabila dijaga dengan baik, akan menjadikan kita manusia yang lebih baik.
Amalan – Perhatikan semula amalan-amalan negatif yang pernah dilakukan yang tidak membawa kebaikan dalam perniagaan. Banyakkan amalan-amalan positif untuk membangunkan semula perniagaan.
Taubat – Kita manusia yang tidak lari dari kesilapan. Ada kala ujian diturunkan untuk menegur kesilapan kita. Jika tahu ada melakukan perkara yang melanggar hukum agama, segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan semula.
Kenali Potensi Diri
Di akhir program saya berkongsi dengan peserta bagaimana mahu mengenali potensi diri menggunakan pendekatan Ikigai.