Soalan penting kepada arkitek dan kontraktor sebelum projek bermula
[Artikel Asal : Mahanom Mohammad]
Membina rumah bukan sekadar membina impian untuk sediakan kediaman pada keluarga tersayang.
Membina rumah memerlukan tanggungjawab besar yang memerlukan ilmu dan perancangan.
Ramai pemilik rumah terlalu teruja memilih reka bentuk dan bahan, tapi lupa langkah paling penting sebelum projek bermula: iaitu bertanya soalan yang boleh mengurangkan risiko rugi masa, wang emosi.
Berikut 7 soalan wajib yang perlu ditanya kepada arkitek dan kontraktor sebelum kerja pembinaan dimulakan.
1️⃣ Adakah anda kontraktor/arkitek berdaftar dan aktif?
Soalan paling asas, tetapi ramai abaikan.
Pastikan kontraktor anda berdaftar dengan CIDB Malaysia dan arkitek pula berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).
Pendaftaran bukan sekadar lesen, tapi sebagai bukti mereka diiktiraf, beretika dan berpengalaman.
Anda boleh semak status di laman rasmi https://cims.cidb.gov.my.
2️⃣ Apakah jenis kontrak yang akan digunakan?
Jangan bina rumah tanpa kontrak bertulis.
Gunakan Borang Kontrak CIDB (CIDB Contract Form) atau kontrak yang disahkan peguam.
Kontrak adalah dokumen paling penting kerana akan menyatakan tanggungjawab, tempoh siap, kaedah bayaran dan langkah penyelesaian jika berlaku pertikaian.
Sekiranya kontraktor anda juga menyediakan kontrak, bawa kontrak itu kepada peguam untuk dapatkan nasihat mereka.
3️⃣ Berapa anggaran kos keseluruhan, termasuk kerja luar?
Ramai pemilik rumah hanya tumpu pada kos struktur utama, tetapi lupa bahagian luar seperti pagar, longkang dan landskap.
Pastikan anggaran yang diberi adalah kos menyeluruh (all-in) supaya tiada caj tersembunyi.
Tanya juga sama ada harga termasuk Levi Projek, SST, dan kos permit PBT.
4️⃣ Siapa yang akan uruskan kelulusan pelan dan permit?
Pelan yang tidak diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menyebabkan pembinaan dihentikan.
Tanya kontraktor sama ada mereka boleh menguruskan kelulusan.
Jika tidak, pastikan anda faham prosedur dan dokumen yang diperlukan untuk elakkan masalah kemudian hari.
5️⃣ Apakah tempoh siap projek dan bagaimana jika berlaku kelewatan?
Setiap projek perlu ada jadual kerja (work schedule) yang jelas.
Tanya tentang tempoh siap sebenar dan syarat jika berlaku kelewatan.
Apakah penalti atau pampasan yang perlu dibayar?
Dengan soalan ini, anda boleh menilai sama ada kontraktor itu serius atau tidak terhadap masa dan kualiti kerja.
6️⃣ Siapa yang akan berada di tapak setiap hari?
Kontraktor utama tidak akan sentiasa berada di tapak kerana mereka juga perlu menguruskan perkara lain di luar tapak, contohnya mendapatkan bahan binaan dari pembekal, melakukan operasi pejabat dll. Pastikan kontraktor utama menyediakan penyelia tapak (site supervisor) bertauliah yang boleh dihubungi setiap hari.
Mereka ialah mata dan telinga anda untuk memastikan kerja berjalan mengikut spesifikasi.
7️⃣ Apakah jaminan selepas rumah siap?
Tugas kontraktor belum selesai walaupun rumah telah diserahkan.
Pastikan ada tempoh jaminan kecacatan (Defect Liability Period) — biasanya 3 hingga 6 bulan selepas siap.
Sebarang kerosakan perlu diperbaiki sebelum bayaran akhir dibuat.
Tujuh soalan ini bukan untuk menguji kontraktor, tetapi untuk memastikan komunikasi dan tanggungjawab jelas dari awal. Lebih banyak anda tahu sebelum projek bermula, lebih tenang perjalanan membina rumah idaman anda nanti.
Mahanom Mohammad
www.mahanom.com