7 Nota Ilmu Ulangkaji

Setiap kita mempunyai sebab kenapa memilih untuk terjun dalan dunia usahawan. Ada yang menjadikannya sebagai satu sumber pendapatan. Ada juga kerana hobi. Ada yang terpaksa. Ada sekadar cuba-cuba mahu dapatkan pengalaman.

Apapun sebabnya.Sebelum meneruskan niat berniaga, baca 4 nota kecil hari ini.

Buat bekalan sebelum bermula.

Bila sudah terlajak dan jatuh berdarah kaki, lihat semula nota-nota kecil ini. Periksa dan timbang tara.

1. Pegang Angka

Mulakan dengan ilmu bermain angka. Agar tahu untung dan rugi. Harga jual mestilah melebihi harga kos.

Apa itu harga kos? Ia bukan sekadar harga bahan mentah. Masa juga kos. Tenaga juga kos. Kenderaan juga ada kos minyak, penyelenggaraan serta bayaran bulanannya. Lebihan produk yang tidak laku dijual itu juga dikira kos.

Ambil tahu harga pasaran. Dan letakkan harga yang bersesuaian.

Jual satu pasti tidak dapat atasi kos keseluruhan. Kira berapa banyak unit wajib dijual supaya tidak rugi. Kunci itu sebagai jumlah minumum. Jargon bisnesnya “break-even”. Titik pulang modal, orang kata.

Berniaga, takkan takat pulang modal sahaja. Kenalah buat untung juga.

Bila mahu untung banyak, kira semula berapa unit perlu dijual. Agar dapat mencapai untung dikehendaki. Sudah ada angkanya, pegang.

Kemudian cari jalan bagaimana dapat menjual pada jumlah angka yang dipegang tadi.

Latih otak bermain dengan angka. Usah terlalu manjakan diri dengan kakulator.

Rekod segala perkara berkaitan dengan angka. Ia bukan sahaja bantu kira untung dan rugi. Malah boleh beritahu dimana kedudukan bisnes kita. Masih ditakuk lama atau ada potensi untuk berkembang.

Berniaga jangan sia-sia. Dapat penat dan lelah sahaja.

Pegang Angka.

2. Curi Hati Pelanggan

Ilmu Curi Hati.

Bisnes itu berdiri bila ada pelanggan. Ada transaksi pertukaran. Wang mereka dan produk kita.

Ilmu curi hati ini perlu. Samada offline atau online. Ada caranya. Kerana yang membeli itu manusia. Ada hati dan perasaan.

Bila menjual bertentang wajah, jaga senyuman.

Ini mudah. Senyuman beri ketenangan pada jiwa yang memandang. Malah senyuman juga jemput kegembiraan untuk diri sendiri.

Tidak percaya? Cuba senyum sampai telinga sambil baca nota ini. Ada rasa pening? Ke rasa mahu ketawa?

Senyumlah. Cuma hati-hati, jangan senyum seorang diri tanpa sebab. Nanti timbul pandangan lain pula.

Sudah curi hati, jaga dan belai. Bina silaturahim. Bina rantaian perniagaan. Jargon bisnesnya networking.

Ada kala dalam perkongsian ilmu, saya sebut ilmu mengurat pelanggan.

Buat hingga pelanggan rindu mahu beli dari kita. Barulah akan ada repeat order.

Begitu juga bila perlu menjual melalui tulisan, perbualan telefon atau pesanan guna e-commerce.

Ayat-ayat hormat pelanggan perlu. Bila sudah dicuri perhatiannya, hadirkan pula ayat cinta dari jiwa dan raga. Buat hingga pelanggan tersipu dan malu. Sampai hadir rasa membeli itu perlu.

Dalam dunia psikologi, jargon yang digunakan adalah empati yang tinggi.

Apa pula empati ini? Bahasa mudahnya bagaimana kita mahu orang layan kita bak raja, begitulah juga kita layan pelanggan.

Sudah mengurat dan curi hati, kena jaga dan belai sentiasa. Ini seni menjaga hubungan pelanggan.

Hubungan pelanggan ini penting. Dalam bisnes kita sebut juga “Service after Sales”. Bila sudah dapat wang mereka, jangan tinggalkan mereka begitu sahaja.

Buat hingga mereka bangga untuk rekomenkan kita pada keluarga, rakan-rakan dan orang diluar sana pula.

“Customer is always right, except when they harm your business”

Perlu tahu juga garis pemisahnya.

Pegang ilmu curi hati. Sekali hati dicuri, mereka akan rindu untuk datang lagi.

Berniaga jangan sia-sia. Nanti dapat penat dan lelah sahaja.

Jumpa bakal pelanggan – curi hati dan belai Emosi.

3. Kenali Produk Sendiri

Jual Apa?

Kita ada produk. So what?

Kenapa pelanggan mahu membeli? Apa yang mereka dapat?

Era Ekonomi sekarang merungkai banyak sebab orang membeli produk.

Ada yang membeli kerana ia produk keperluan. Mahu tidak mahu, kena juga beli. Jika tidak beli boleh menganggu keberlansungan kehidupan mereka.

Ada juga yang membeli kerana ia produk kehendak. Bagi memenuhi citarasa mereka. Membeli dapat meningkatkan gaya hidup. Beli bila ada lebihan duit.

Apapun sebab orang membeli, mereka akan membeli produk yang memberi manfaat kepada hidup mereka.

Era manusia membeli kerana ciri-ciri produk sudah berlalu. Spesifikasi produk bukan lagi pilihan pertama. Karektor produk yang canggih juga tiada erti.

Setiap manusia mempunyai masalah dalam kehidupan mereka. Lapar pun masalah. Tumbuh jerawat kecil pun masalah. Tiada liputan internet pun masalah juga. Mahu tinggal rumah banglo pun masalah. Mahu beli rumah bertingkat pun masalah juga.

Masalah yang sama – mungkin kecil bagi A, mungkin bukan masalah bagi B. Atau ia mungkin juga satu masalah besar bagi C.

Salah satu penyelesaian masalah dapat diatasi dengan membeli produk yang dapat beri solusi pada masalah mereka.

Beli produk dapat selesaikan masalah, ia secara tidak lansung memberi manfaat kepada pelanggan.

Jelaskan manfaat produk dahulu, dan bagaimana ia beri jalan penyelesaian kepada masalah pelanggan.

Kemudian barulah terangkan ciri-ciri dan karekter produk tersebut.

Cara pelanggan membeli juga berbeza. Jika mereka adalah individu, mereka membeli kerana percaya kepada penjual.

Bila menjual pada peniaga kecil, mereka membeli kerana percaya kepada syarikat yang menjual.

Dan bila menjual kepada syarikat besar, mereka membeli kerana percaya kepada produk itu sendiri.

Cari manfaat pada produk yang mampu tambah nilai dalam kehidupan pelanggan. Kenalpasti pelanggan kita. Dan bagaimana kebaikkan dalam produk kita dapat menyelesaikan masalah mereka.

Berniaga jangan sia-sia.

Kenali produk sendiri..

4. Bijak Berstrategi

Kita pandai angka, tiada masalah mengurat pelanggan, produk kita mampu beri manfaat dan tambah nilai kehidupan.

Tambahkan lagi perniagaan kita dengan melakar strategi bagaimana produk kita boleh hidup dalam pasaran. Hingga ditemui pelanggan. Dan akhirnya wang bertukar tangan. Dari pelanggan kepada kita.

Strategi bermula apabila kita ada impian yang mahu dicapai.

Sesuatu yang menanti dihujung destinasi. Yang ditetapkan dalam visi diri.

Sesuatu yang boleh digenggam tanpa sebarang halangan. Atau perlu melangkaui beberapa halangan dan cabaran dalam mencapai visi yang telah ditetapkan.

Strategi adalah plan rancangan yang dibina berdasarkan keupayaan sedia ada. Juga bagaimana menambah keupayaan tersebut agar dapat digunakan sepanjang perjalananan mencapai apa yang kita kehendaki.

Keupayaan menjalankan plan tersebut perlu mengambil kira sumber yang diperlukan, bajet yang perlu disediakan, skil yang patut ada serta pelan yang mampu memberi pulangan tinggi dalam setiap pelaburan masa, tenaga, modal dan sumber yang digunakan.

Mempunyai segala keupayaan juga tidak membantu, jika kita gagal membaca halangan yang bakal timbul akibat perubahan sekeliling.

Ini termasuklah polisi dari pematuhan perniagaan, kesan sosial, politik, ekonomi dan teknologi. Serta pergerakan rantaian eko sosial akibat perubahan tersebut.

Strategi menjadi tragedi apabila kita sibuk mengintai strategi orang lain. Dengan harapan dapat mencuri strategi mereka.

Ini kerana kita melaksanakan strategi mereka tanpa tahu apakah impian yang mereka ada dalam kepala. Tanpa tahu jalan manakah mereka mahu lalu. Akhirnya kita memilih jalan bersimpang siur dan hanya dapat mengenggam impian orang lain. Impian sendiri entah kemana.

Bina strategi yang auntentik. Dalam padang sendiri.

Berniaga jangan sia-sia. Dapat penat dan lelah sahaja.

Bila kita gagal merancang. Kita merancang untuk gagal.

5. Pandai Rancang, Pandai Buat

Kita lengkap segalanya. Pandai bermain angka. Punya database pelanggan. Pandai membeli hati. Pandai berstrategi.

Semuanya akan kelaut bila kita tidak buat.

Ilmu buat ini tidak mudah. Ia gabungan skil, masa, minat dan mahu.

Skil boleh diasah. Bila tidak tahu pergilah cari guru belajar. Sudah dapat ilmu teori, praktikkan. Belajar dari kesilapan. Tingkatkan diri dengan cipta kejayaan. Skil perlu ada.

Masa itu emas. Masa juga boleh membuat diri lemas. Rancang masa agar apa yang hendak dibuat, dapat diselesaikan pada ruang masa yang telah dibina. Masa tidak menunggu sesiapa.

Minat perlu hadir. Samada suka atau tidak suka. Cintalah apa yang kita mahu buat. Kerana paksaan tidak akan memberi apa-apa. Cipta minat. Paksa diri. Pegang Big Why. Lama-lama ia akan hadir dengan sendiri.

Mahu itu perlu. Ada skil, masa dan minat, tambah dengan mahu. Pasti menjadi. Cari sebab untuk mahu buat. Bukan cari alasan.

Strategi 5 bintang atas kertas atau dalam kepala hanya tinggal strategi.

Jadi tunggu apa lagi? Bangun dan buat. Sekarang.

Berniaga jangan sia-sia. Dapat penat dan lelah sahaja.

Buat, buat, buat. Hingga dapat.

6. Jaga Emosi

Dalam berniaga, untung belum tentu lagi. Rugi pula pasti.

Semakin lama kita berniaga, semakin banyak air mata akan mengalir. Sampai satu masa, airmata pun sudah tidak mahu lagi keluar.

Itu semua bersifat sementara. Menyediakan diri bagi kejayaan yang akan diberi. Allah tidak pernah mungkir janji.

Setiap kesusahan akan ada kesenangan. Bukan sekali. Malah dua kali disebut dalam kitab suci.

Tetapi untuk berjaya, kita akan diuji dan diduga. Samada dengan nikmat atau pun melalui ujian.

Amat malanglah jika kita diberi kenikmatan, kita tidak berterimakasih kepada pemberinya. Dan bertambah malang bila ditimpa ujian, kita tidak pulang dan meminta penuh harap kepadaNya.

Dalam menguruskan perniagaan, emosi perlu dijaga.

Ini kerana kita akan berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia mahupun teknologi.

Malah melihat kejayaan orang lain, juga boleh mengugat emosi bila cuba membandingkan kejayaan mereka dengan diri yang belum berjaya lagi.

Menguruskan emosi sendiri perlu belajar ilmunya. Menjaga hati dari terus dibisik untuk mengalah dan mengundur diri. Menjaga jiwa agar jangan patah lara dan terus hidup menyuburkan semangat.

Disinilah hubungan kita dan Pencipta perlu dijaga. Dibelai dan disiram dengan iman dan perbuatan.

Emosi perlu hidup subur. Ilmu menguruskan emosi perlu ada.

Agar tidak bersedih lama. Bangun dan kesat air mata. Berlari semula.

Agar tidak lupa diri bila berjaya. Masih tunduk tawaduk dan sedar diri. Kita hanya hamba. Tetap hamba sehingga bila-bila.

Berniaga jangan sia-sia. Dapat penat dan lelah sahaja.

Hidup sentiasa suburkan emosi. Bertemankan motivasi dan inspirasi setiap hari.

7. Sentiasa Perbaharui Ilmu

Sentiasa perbaharui ilmu sedia ada.

Zaman berubah, masa berlalu. Citarasa pelanggan juga berbeza mengikut kehendak dan keperluan semasa.

Ilmu berniaga yang dipelajari 5 tahun lepas, ada yang sudah tidak oleh diapplikasi untuk pasaran yang sama.

Dimana mahu dapat ilmu-ilmu terbaru?

Cari dari guru. Baca dari buku. Tonton dokumentari. Atau apa jua sumber yang boleh beri informasi terkini.

Boleh juga dapatkan dari sahabat yang tidak kedekut berkongsi.

Kita yang ada ilmu sedikit inipun, usahlah kedekut juga untuk berkongsi. Ilmu bukan milik kita. Sebar dan suburkan. Lebih banyak yang diberi, lebih banyak lagi yang akan kita dapati.

Berniaga jangan sia-sia. Dapat penat dan lelah sahaja.

Adakan masa dan tenaga, untuk belajar ilmu berniaga.

(Visited 40 times, 1 visits today)

2 thoughts on “7 Nota Ilmu Ulangkaji”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *